AM

Radio ERA Lancar Kelas Perpaduan, Pupuk Keharmonian

14/07/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Stesen radio ERA dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara melancarkan kempen ‘Kelas Perpaduan ERA’ bermula hari ini, bagi menyemarakkan mesej perpaduan antara kaum menerusi pendekatan santai dan hiburan.

Astro Audio dan Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan kempen dengan slogan ‘ERA Kini ERAT’ itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan memupuk keharmonian, hormat-menghormati dan bertolak ansur dalam menjamin keamanan serta keharmonian.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kempen itu selaras aspirasi kementerian untuk mendekati rakyat khususnya generasi muda melalui pendekatan lebih segar, santai dan relevan dengan cita rasa semasa.

“Kempen ini memperkukuh peranan ERA bukan sekadar stesen hiburan, tetapi juga sebagai penghubung hati dan suara rakyat Malaysia.

“Ia membuktikan bahawa medium hiburan seperti radio mempunyai kuasa besar dalam membentuk persepsi, menyemai nilai dan menyatukan rakyat berbilang bangsa serta budaya,” katanya dalam kenyataan sama.

Ketua Pengarah Astro Audio P. Priya Dharshini berkata pihaknya berharap kempen itu memberikan inspirasi kepada masyarakat terutamanya generasi muda agar terus menghargai serta mensyukuri keharmonian dan perpaduan negara.

“Perpaduan terhasil daripada kebersamaan semua pihak bermula di peringkat sekolah sehingga ke segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Kelas Perpaduan ERA yang mengetengahkan dan mendidik pelbagai keunikan budaya di Malaysia dijadual bersiaran pada 9 pagi setiap Rabu.

Selain itu, video kempen dibarisi penyampai seperti Nabil Ahmad, Azad Jasmin, Radin Affendy, Isha Norsham, Fazziq Muqris, Syasya Nadira, Haziq Hussni, Muna Bella, Safee Sali dan Syazwan Raza ditayangkan di saluran YouTube ERA. 

Iklan papan layar gergasi turut dipasang di lokasi strategik bagi mempromosikan mesej kempen manakala Jelajah Kelas Perpaduan ERA di sekolah terpilih di seluruh negara mendekati pelajar untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan aktiviti interaktif berkaitan perpaduan serta keharmonian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan