AM

Bangkai Helikopter Kemalangan Dinaikkan Esok Atau Lusa -- Komander PGU

13/07/2025 02:46 PM

JOHOR BAHRU, 13 Julai (Bernama) – Bangkai helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam kemalangan di Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lepas, dijangka akan dinaikkan dalam masa terdekat, sama ada esok atau lusa.

Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Noor Sham Md Jani berkata pihaknya akan dibantu oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menjalankan kerja-kerja berkenaan.

“Insya-Allah, dengan bantuan daripada agensi-agensi luar, proses menaikkan atau mengangkat bangkai helikopter ini akan berjalan lebih cepat, sekali gus membolehkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) menjalankan siasatan yang lebih mendalam mengenai insiden tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Beliau berkata alat rakaman perhubungan komunikasi juga dipercayai masih berada di dalam bangkai helikopter berkenaan.

"Ia dipercayai masih lagi dalam helikopter, sebenarnya ia adalah perhubungan komunikasi antara helikopter dengan bahagian (petugas udara) di bawah. Kotak hitam tiada, kerana ia alat perhubungan komunikasi helikopter," jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital II HSA Dr C.Mitesh berkata kesemua lima mangsa nahas termasuk dua yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata Konstabel R. G. Devendran masih ditidurkan dan memerlukan bantuan pernafasan, sementara Koperal Adeline Liu Yan Siu yang tidak memerlukan bantuan pernafasan pula berada dalam keadaan stabil di ICU.

“Tiga mangsa yang stabil di wad biasa juga masih dalam pemantauan, termasuk oleh pakar ortopedik kerana ada yang cedera dan memerlukan rawatan lanjut. Secara keseluruhan, kelima-lima mangsa berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.15 pagi Khamis, sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise(MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama antara Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Selain Devendran dan Adeline, turut terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin.

Kesemua kru helikopter berjaya diselamatkan pasukan Polis Marin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan