AM

Pertemuan Dengan Ahli Parlimen BN Untuk Jelaskan Isu Semasa - Anwar

12/07/2025 08:15 PM

KUALA NERUS, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat adalah untuk menjelaskan beberapa isu semasa.

Beliau berkata antara perkara yang diterangkan termasuk mengenai cukai, khabar angin tentang subsidi petrol RON95 dan isu badan kehakiman.

“Dia begini, kadang hari Isnin saya putuskan untuk jumpa PH (Ahli Parlimen Pakatan Harapan), itu PH biasa. Jadi Datuk Seri Zahid (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) kata sebaiknya jumpa (Ahli Parlimen) BN juga. Maka saya pun kata baik, kita jumpa semalam.

"(Ahli Parlimen) BN faham dan bagi kerjasama penuh bagi isu-isu ini dan (yang) berikutnya saya akan jelas kepada BN," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan di sini hari ini.

Perdana Menteri dilaporkan mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen BN di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata pertemuan majlis pimpinan pada hari ini turut membincangkan mengenai isu-isu semasa termasuk tindakan kerajaan dalam menangani rasuah.

"Saya jelaskan bagaimana tindakan-tindakan kita terhadap rasuah besar yang kemudian menyebabkan kumpulan ini bersatu untuk menyerang kita. Itu yang penting. Sebab bagi mereka rasuah itu tidak lagi besar. Bagi kita masih (besar) kerana isu tatakelola," katanya.

Menurut Anwar beliau turut menerangkan mengenai pemilihan Ketua Hakim Negara yang sebelum ini pernah dijelaskannya bahawa semua pihak perlu menghormati proses pelantikan jawatan itu yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan