AM

WSIS+20 Serlah Pencapaian Malaysia Dalam Memajukan Sektor Telekomunikasi

11/07/2025 06:55 PM

Oleh Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 11 Julai (Bernama) -- Penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai di sini, menyerlahkan pencapaian negara dalam memajukan sektor telekomunikasi.

Hal ini dibuktikan dengan kemenangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menerusi Inisiatif NADI Pulau Banggi sebagai juara Hadiah WSIS 2025 atas kejayaan menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada satu daripada komuniti pulau paling terpencil di Malaysia.

NADI yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diiktiraf sebagai johan bagi kategori C4: Pembinaan Kapasiti manakala satu lagi projek MCMC dengan kerjasama Telekom Malaysia Bhd (TM), iaitu Projek Stingray II Pulau Ketam, merangkul johan bagi kategori C2: Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi.

Selain itu, Malaysia turut bergelar johan bagi kategori C10: Aplikasi ICT: manfaat dalam semua aspek kehidupan – E-kesihatan dan C10: Dimensi Etika dalam Masyarakat Bermaklumat.

Kedua-dua kemenangan itu diperoleh masing-masing melalui sistem MyHeart: AI-Powered Predictive System for Cardiovascular Health yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM) serta melalui aplikasi Penang Stop Violence yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kejayaan NADI amat bermakna kerana menjadi antara 18 juara bagi Hadiah WSIS 2025 daripada 970 projek yang dicalonkan di seluruh dunia.

“Ia satu pencapaian yang sangat-sangat baik,” katanya kepada pemberita pada WSIS+20 di sini semalam.

Fahmi berkata penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 turut memberikan peluang kepada negara untuk menyampaikan beberapa pandangan tentang perkembangan terkini dalam sektor telekomunikasi serta kecerdasan buatan (AI) dan beberapa aspek lain. 

“Kita juga dapat mendengar pandangan, saranan dan juga masalah yang dihadapi oleh negara-negara lain dan usaha platform seperti Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk meletakkan beberapa dasar pada peringkat global yang membolehkan negara-negara anggota mencari penyelesaian sesuai dengan negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata antara isu dibangkitkan delegasi yang hadir ialah keupayaan menyediakan infrastruktur yang menyokong AI, etika dan panduan moral dalam penggunaan AI, serta jurang antara global north, iaitu negara yang dikategorikan sebagai maju dengan global south atau negara dunia ketiga dan sedang membangun.

“Asas daripada AI ialah infrastruktur telekomunikasi yang mantap, apa yang kita sebut sebagai keupayaan untuk membuat kiraan yang cukup banyak.

“Perkara itu hanya boleh berlaku sekiranya talian Internet sangat-sangat baik dan sangat-sangat laju … kita berharap dengan pengalaman Malaysia melaksanakan projek-projek infrastruktur, kita mungkin dapat menyumbangkan pengalaman itu kepada negara-negara yang belum ada 5G,” katanya.

Kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dengan negara anggota ITU juga selari dengan bidaan negara untuk dipilih semula sebagai Ahli Majlis ITU pada pemilihan yang akan berlangsung pada November tahun depan.

Fahmi berkata kestabilan politik dan kejelasan dasar negara dilihat oleh negara anggota ITU sebagai faktor yang membolehkan Malaysia memainkan peranan lebih besar di persada dunia.

“Suara Malaysia sangat penting kerana kita mewakili sebahagian daripada global south dan pencapaian Malaysia mengemudi ASEAN sebagai pengerusi bagi 2025 meletakkan Malaysia pada satu kedudukan yang tinggi di mata masyarakat antarabangsa,” katanya.

Fahmi berkata bidaan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri itu bukan hanya akan memberikan Malaysia tempat untuk bersuara, tetapi juga tempat untuk menimba pengalaman baharu dan membincangkan isu dasar pada peringkat global tentang beberapa perkara yang dipanggil sebagai teknologi baru muncul  seperti AI.

Fahmi yang mengakhiri lawatannya di sini hari ini bersempena dengan penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 turut menghadiri 10 mesyuarat dua hala sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

Antaranya dengan Menteri Pos dan Telekomunikasi Algeria Sid Ali Zerrouki, Menteri Komunikasi, Teknologi Digital dan Inovasi Ghana Samuel Nartey George, Menteri Komunikasi dan Teknologi Somalia Mohamed Adam Moalim, Menteri Hal Ehwal Komunikasi Kuwait Omar Al-Omar, dan rakan sejawat dari United Kingdom Maggie Jones.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan