AM

USM Perluas Menu Rahmah, Tambah Baik "Food Bank" Bantu Pelajar

11/07/2025 03:49 PM

GEORGE TOWN, 11 Julai (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) memperluas penyediaan Menu Rahmah di semua kafeteria desasiswa bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dalam kalangan B40.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata inisiatif itu diyakini mampu memberi kelegaan kepada pelajar dan memastikan mereka dapat menikmati hidangan berkualiti pada harga lebih berpatutan. 

Beliau berkata dalam masa sama perkhidmatan Food Bank USM terus ditambah baik dan diperluas dengan menyediakan makanan asas lain yang menjadi barang keperluan harian bagi membantu pelajar yang mengalami kekangan kewangan.

“USM juga giat mendapatkan sokongan dan sumbangan daripada pihak luar, khususnya syarikat korporat bagi meringankan beban pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata satu jawatankuasa juga telah ditubuhkan bagi mengenal pasti inisiatif jangka pendek dan panjang bagi membantu pelajar yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Bagi pelajar yang memerlukan bantuan kecemasan, mereka boleh menghubungi Unit Kebajikan dan Orang Kurang Upaya (OKU), Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan selain itu, Zawain USM turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi peruntukan khas yang disediakan.

“Bantuan secara bersasar kepada pelajar daripada kategori B40 akan diteruskan dan diperkasakan bagi memastikan mereka tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan kos semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata BHEPA dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut menjalankan kajian bagi mengenal pasti perkhidmatan dan barangan keperluan yang memberi kesan langsung kepada pelajar.

Ia termasuk harga makanan, perkhidmatan cetakan dan fotostat, tambang e-panggilan serta perbelanjaan harian yang lain dan hasil tinjauan itu akan membantu pihak universiti merangka semula pelan tindakan jangka panjang yang menyeluruh dan langkah yang lebih bersesuaian. 

USM juga mengingatkan pengusaha kafeteria tidak menaikkan harga jualan, memandangkan mereka masih terikat dengan syarat kontrak asal, selain menilai semula kadar sewa premis perniagaan di kampus supaya tidak membebankan peniaga, sekali gus mengelakkan kenaikan harga makanan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan