KUALA TERENGGANU, 11 Julai (Bernama) -- Majlis Tahlil dan Doa Selamat buat mangsa tragedi yang mengorbankan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diadakan malam semalam menjadi sebahagian daripada pengisian Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu.
Majlis berlangsung di Surau Dato’ Amar, Pasar Kedai Payang di sini selepas solat Maghrib dan dihadiri jemaah termasuk warga Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pelajar maahad tahfiz.
Program kerohanian itu selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang tidak hanya menekankan pembangunan fizikal, tetapi juga nilai insaniah.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR Datuk Zainal Alhakab Seman berkata, pengisian PMR kali ini dirangka menggunakan pendekatan berbeza yang bersesuaian dengan masyarakat setempat.
“Satu daripada aspek yang kita tonjolkan di PMR kali ini adalah penganjuran majlis tahlil itu dan program Terengganu Bermunajat, serta pada petang Jumaat (hari ini) kita akan adakan program bersama kumpulan nasyid Rabbani menerusi persembahan khas ‘Tautan Hati Ganu Bersama Rabbani’.
“Majlis Tahlil malam ini bertujuan mengenang dan mendoakan saudara-saudara kita yang telah meninggal dunia, termasuk yang baru-baru ini melibatkan pelajar UPSI di Gerik,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.
Pada kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu yang berlangsung tiga hari hingga Sabtu ini menyasarkan kehadiran seramai 25,000 pengunjung sejajar dengan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada rakyat.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, program itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KKR dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial