AM

Malaysia Sahkan Komitmen Penuh Sebagai Penyelaras Dialog ASEAN-China

11/07/2025 12:07 AM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Malaysia mengesahkan komitmen penuhnya sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China bagi 2024-2027, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata Malaysia turut menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan China dan keyakinan negara itu terhadap kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Mohamad berkata beliau dan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, telah bertukar pandangan mengenai hubungan dialog ASEAN-China dan mengesahkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.

“Kedua-dua negara mengakui kepentingan memajukan inisiatif perkongsian strategik termasuk kerjasama ekonomi, keterhubungan serantau dan pembangunan mampan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Wang di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan di sini, Khamis.

Mohamad berkata kedua-dua pihak turut mengikuti perkembangan hasil Lawatan Negara yang berjaya serta Kenyataan Bersama mengenai Pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif dan Pembinaan Komuniti Berkongsi Masa Depan Malaysia-China.

Beliau berkata bidang keutamaan yang dibincangkan termasuk kerjasama dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kecerdasan buatan (AI), keselamatan, ekonomi digital, penyelidikan dan pembangunan serta inisiatif Dua Negara Dua Taman, iaitu projek utama yang melambangkan hubungan industri dan ekonomi yang lebih erat.

Mohamad berkata pertemuan itu berakhir dengan keputusan positif dengan kedua-dua pihak menegaskan aspirasi bersama untuk memperkukuh hubungan erat, mempertingkat keamanan dan keselamatan serantau serta mempromosi kemakmuran bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan