IPOH, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak memperkukuh dasar pembangunan institusi pendidikan agama menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan pengukuhan institusi sosial sebagai antara keutamaan di bawah teras Sejahtera Sosial.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tiga fokus dikenal pasti menerusi kerangka pelan berkenaan, iaitu memurnikan pembangunan institusi supaya tersusun dan selamat, meningkatkan kefahaman pentadbiran terhadap tadbir urus dan perundangan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan secara mesra rakyat dan efisien.
Beliau berkata langkah proaktif itu termasuk meneliti sistem serta struktur pengurusan institusi supaya setiap langkah pembangunan dilandaskan kepada kebertanggungjawaban dan kepatuhan.
"Justeru, apabila kita menyentuh soal integriti dalam konteks institusi pendidikan agama, kita tidak boleh membataskannya kepada isu rasuah semata-mata.
"Integriti di sini lebih luas maknanya, ia melibatkan kejujuran dalam memikul amanah, ketelusan dalam pengurusan dana dan wakaf, kecekapan dalam pentadbiran, serta kesungguhan untuk mematuhi segala peraturan ditetapkan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan warga institusi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kelestarian Integriti (SKI) Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Sektor Awam di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azmi Kamaruzaman berkata sebanyak 44 orang menyertai program CeIO Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dilaksanakan sejak 20 April hingga 10 Julai.
Beliau berkata ia merangkumi empat modul teras yang menekankan aspek pengurusan integriti, pematuhan, tadbir urus, kawalan dalaman, Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) serta pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).
Azmi berkata selain kuliah, peserta turut melaksanakan Enhancing Integrity Project (EIP) dan SKI, iaitu komponen wajib bagi pentauliahan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB).
"Bagi tahun ini, EIP telah dilaksanakan pada 5 Julai di Selama dengan tema 'Kelestarian Integriti dalam Pembangunan Pendidikan Agama'.
"Fokus projek ini ialah isu ketidakpatuhan spesifikasi keselamatan serta reka bentuk pembangunan sekolah agama rakyat dan Maahad Tahfiz yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar serta imej institusi pendidikan agama," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial