AM

KPM Garis Tujuh Langkah Tangani Beban Tugas Guru

10/07/2025 07:12 PM

PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah menggariskan tujuh langkah bagi mengurangkan beban tugas guru termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi dan melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata isu yang berpanjangan sekian lama itu sememangnya menjadi fokus sejak awal perkhidmatan beliau di KPM dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.

“KPM menerusi cadangan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) telah menggariskan Tujuh Langkah Mengurangkan Beban Guru. Antara yang diberi perhatian adalah untuk memansuhkan penganjuran acara yang tidak berimpak tinggi dan mengurangkan kekerapan semakan elemen pengurusan sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM),” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Selain itu, waktu kunci masuk rekod kehadiran murid juga diberikan kelonggaran agar lebih fleksibel, mengehadkan sambutan Hari Guru kepada penganjuran di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja serta menetapkan ringkasan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) hanya merangkumi elemen objektif, pengajaran dan refleksi.

Fadhlina berkata KPM turut memperkukuh autonomi guru dalam merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif ini telah menunjukkan beberapa kejayaan signifikan termasuk lantikan seramai lebih 11,000 pengawas peperiksaan awam dalam kalangan orang awam sekali gus mengurangkan beban tugas guru. Namun, ia perlu terus diperkasakan bagi memastikan impaknya menyeluruh dan dirasai semua guru,” katanya.

Beliau dalam pada itu meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pentadbir sekolah untuk memastikan pelaksanaan inisiatif itu adalah berkesan manakala Ketua Pengarah Pendidikan dipertanggungjawab untuk memastikan kesemua inisiatif berjalan seperti perancangan.

“Laporan berkala setiap tiga bulan sekali perlu dibentangkan kepada saya dan pengurusan tertinggi KPM dan saya tuntut komitmen seluruh kepimpinan pendidikan di setiap peringkat untuk memastikan isu beban tugas guru ditangani bersama,” kata Fadhlina.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan