Oleh Linda Khoo & Nur Elysa Amirah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Thailand masih berharap kadar tarif balas sebanyak 36 peratus ke atas eksport negara itu ke Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan baru-baru ini bukan keputusan muktamad.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata dialog dengan pihak AS masih diteruskan.
Beliau berkata Thailand telah mengemukakan cadangan kedua pada 7 Julai, manakala surat berhubung perkara itu disiarkan di Truth Social lewat Isnin.
“Kami berharap kadar 36 peratus ini bukan muktamad… Kami benar-benar berharap akan ada pengurangan kadar tarif tersebut.
“Seperti yang telah saya nyatakan, Thailand berusaha mencapai penyelesaian menang-menang dengan AS, untuk matlamat jangka panjang bagi membina hubungan kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama.
Nikorndej berkata Thailand mengambil pendekatan fleksibel dalam rundingannya dengan AS, termasuk merancang untuk meningkatkan pelaburan.
“Kami bersikap fleksibel dalam banyak perkara. Kami akan meningkatkan pelaburan di AS, dan sudah tentu, pengurangan tarif adalah antara perkara yang sedang dibincangkan. Namun, jumlah produk dan kadar tarif akan dikurangkan masih perlu dibincangkan lebih lanjut,” katanya.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengumumkan tarif baharu sehingga 40 peratus ke atas import dari beberapa negara termasuk Malaysia (25 peratus), Indonesia (32 peratus) dan Kemboja (36 peratus). Kadar tarif tertinggi sebanyak 40 peratus akan dikenakan ke atas Laos dan Myanmar.
Sementara itu, Thailand menyeru kerjasama lebih kukuh dengan ASEAN dan rakan utama untuk membanteras jenayah terancang rentas negara di sepanjang sempadannya dengan Myanmar dan Kemboja.
Nikorndej berkata pusat penipuan kini menjadi ancaman yang semakin meningkat bukan sahaja di rantau itu malah secara global, dengan mangsa merangkumi bukan sahaja negara ASEAN tetapi juga rakyat China, India dan negara-negara Afrika.
“Kami tidak lagi melihatnya hanya sebagai ancaman kepada Thailand atau ekonomi dan rakyat kami semata-mata, tetapi sebagai ancaman kepada subrantau, rantau yang lebih luas, malah rakyat di luar rantau ini. Jenayah rentas negara bermakna ia merentas sempadan - kita tidak boleh bekerja secara bersendirian,” katanya.
Sementara itu, Thailand mengulangi keperluan untuk Myanmar bergerak ke arah dialog inklusif yang boleh membawa kepada gencatan senjata yang berkekalan.
Nikorndej berkata konflik di Myanmar dilihat sebagai isu yang dekat dengan Thailand memandangkan kedua-dua negara berkongsi sempadan sepanjang 2,400 kilometer.
“Kami menyokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan usaha keseluruhan ASEAN dalam merealisasikan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar,” katanya.
Thailand turut menegaskan pendirian lama bahawa sebarang penyelesaian aman kepada krisis Myanmar perlu diterajui dan dimiliki sendiri oleh Myanmar.
Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 hingga 11 Julai, di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”,di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai.
Sepanjang mesyuarat itu, Thailand telah menggariskan enam keutamaan utama: mengukuhkan pemusatan dan perpaduan ASEAN di tengah-tengah peralihan dinamik geopolitik global; meningkatkan kerjasama ekonomi dan digital; menyokong pembangunan mampan; mempromosikan keselamatan insan; serta memperkukuh peranan ASEAN dalam menangani situasi di Myanmar, khususnya melalui pelaksanaan 5PC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial