AM

Koperasi Instrumen Penting Tingkatkan Taraf Hidup Rakyat – PM Anwar

10/07/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Institusi koperasi merupakan instrumen penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan B40, usahawan mikro dan komuniti setempat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata koperasi bukan sahaja berperanan menyediakan kemudahan kewangan dan perkhidmatan perbankan, malah menjadi ejen pengupayaan rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan membina Malaysia MADANI.

“Kerajaan MADANI akan terus memberi sokongan dan memperkukuh sektor koperasi sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi rakyat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick pada Majlis Perasmian Wisma Co-Opbank Pertama (CBP) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata seperti dilaporkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, berdasarkan data perangkaan hingga Disember 2024, lebih 16,000 koperasi telah diperbadankan dengan keanggotaan koperasi mencecah lebih 7.2 juta ahli.

Sementara itu, Anwar menzahirkan penghargaan kepada (CBP) yang berjaya mencatat keuntungan tertinggi sejak penubuhannya, iaitu sebanyak RM124.29 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, dengan jumlah aset keseluruhan mencecah RM12.84 bilion.

Perdana Menteri berkata, CBP bukan sekadar sebuah bank koperasi, sebaliknya merupakan simbol perjuangan ekonomi rakyat yang lahir daripada semangat kerjasama berlandaskan prinsip syariah serta berpaksikan nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.

“Saya berharap agar kejayaan CBP ini akan terus menjadi warisan kepada gerakan koperasi di Malaysia dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara,” katanya.

Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa perasmian Wisma CBP hari ini dapat menjadi platform terbaik kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mengetengahkan serta mengiktiraf pencapaian koperasi di peringkat nasional.

Beliau berkata inisiatif itu juga mampu menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sektor koperasi, selain mempergiat usaha penglibatan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara.

Wisma CBP setinggi 13 tingkat itu yang terletak di Kampung Baru dirasmikan sempena sambutan ulang tahun CBP ke-75 pada 7 Jun lepas, dan menjadi lambang kekuatan serta kemajuan CBP sebagai institusi kewangan. Ia juga mencerminkan simbol peneraju perbankan koperasi moden, mampan dan inklusif di negara ini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan