MELAKA, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Melaka membelanjakan sebanyak RM5.8 juta bagi menaik taraf Kompleks Hang Tuah Centre termasuk Muzium Hang Tuah di Duyong, di sini, dalam tempoh tiga tahun sejak 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata daripada jumlah itu, sebanyak 2.5 juta diperuntukkan bagi menambah baik bahan pameran, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di muzium berkenaan.
“Perbelanjaan ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf kompleks tersebut antaranya dari aspek fasiliti serta bahan pameran dalam usaha menarik lebih ramai pelancong.
“Hari ini, kita dapat lihat Kompleks Hang Tuah Centre menjadi antara destinasi pelancongan yang tidak kurang hebatnya berbanding produk pelancongan lain di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di Konti Melaka FM, Jabatan Penyiaran Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) untuk membangunkan permainan video dalam talian berasaskan platform Roblox, berkonsepkan Perkampungan Hang Tuah, sebagai satu daripada usaha promosi yang menyasarkan generasi muda.
Menurut Mohd Noor Helmy, beberapa pembaharuan dari segi pengisian program dan aktiviti akan turut dilaksanakan bagi memberi nafas baharu kepada produk pelancongan itu, sekali gus menarik minat orang ramai untuk mengunjungi kompleks berkenaan.
Katanya antara program yang dikenal pasti berpotensi menarik pengunjung ialah latihan dan pertunjukan silat membabitkan beberapa persatuan silat tempatan yang akan diadakan setiap minggu.
“Demo pembuatan cakar ayam bermula daripada proses awal hingga akhir juga akan dianjurkan, selain kemungkinan aktiviti sukan rakyat diadakan pada setiap Ahad,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 166 aktiviti dirangka sempena pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong yang akan berlangsung selama dua minggu bermula 13 Julai ini.
Antara program menarik yang ditawarkan kepada warga Duyong ialah kursus perkahwinan percuma bagi individu yang bakal berkahwin buat kali pertama, terhad kepada 100 peserta, yang dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Julai.
Selain itu, katanya, program saringan awal bagi kanak-kanak istimewa atau kelainan upaya akan turut diadakan di Surau Ar-Redhuan, Taman Samabok Perdana pada 20 dan 21 Julai ini.
“Saringan atau pengesanan awal ini akan dilaksanakan oleh empat pakar berkaitan bagi membolehkan ibu bapa mengambil tindakan sewajarnya terhadap anak mereka, khususnya mereka yang mengesan sebarang kelainan, dan program ini dihadkan kepada 30 orang sehari,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial