AM

JPN Kedah Pastikan Putri Qisya Terima Semua Bentuk Bantuan Persekolahan

10/07/2025 11:28 AM

JITRA, 10 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan memastikan semua bantuan persekolahan disalurkan kerajaan bakal dinikmati oleh anak sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat cahaya mata mereka dalam kejadian di Jalan Sungai Korok, di sini pada Sabtu lepas. 

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Kedah Abdul Rahim Mat berkata ia susulan status kanak-kanak itu Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang yatim piatu dan hilang tempat bergantung.

“Apabila adik ini (Putri Qisya) dah bertukar status kepada yatim piatu, maka semua bentuk bantuan yang ada di sekolah yang disalurkan oleh kerajaan, adik ini layak (menerimanya). 

“Pertama sekali, kita akan uruskan balik sarapan pagi di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan adik ini juga akan dapat bantuan sekali beri bencana daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dalam bentuk tunai.

“(Tiga) adik kepada Putri Qisya (yang terkorban) juga ialah pelajar sekolah dan mereka dilindungi oleh insurans dan apabila kemalangan melibatkan kematian, memang ada pampasan dalam bentuk tunai yang juga akan disalurkan kepada Putri Qisya sebagai waris,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi kanak-kanak itu di rumah saudaranya di Taman Sri Aman di sini semalam.

Abdul Rahim berkata JPN Kedah juga turut bersedia membantu membuka akaun bank untuk kanak-kanak itu bagi memudahkan urusan kewangan hasil sumbangan pelbagai pihak yang prihatin terhadap nasibnya.

“Kita juga nak mohon waris juga membantu dalam pengurusan kewangan ini, kerana banyak sumbangan yang diterima dan perlu diuruskan sebaik mungkin kerana matlamat utama kita untuk memastikan pendidikan adik Qisya ini terjamin sehingga ke menara gading,” katanya.

JPN Kedah turut bersedia membantu memudahkan proses pemindahan sekolah kanak-kanak itu sekiranya dia mahu bersekolah di sekolah berasrama atau berhampiran kediamannya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata kaunselor dari sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar dan JPN Kedah akan memberikan kaunserling kepada kanak-kanak itu secara berterusan bagi membantu menguatkan emosinya.

Dalam kejadian Sabtu lepas, kereta Proton Iswara yang dinaiki ibu bapa Putri Qisya bersama empat adiknya dipercayai terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja dekat sini.

Ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat adik beradik, iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemukan maut pada pagi Isnin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan