DUNIA

Lebih 700,000 Orang Hilang Tempat Tinggal Di Gaza Sejak Mac - PBB

08/07/2025 05:28 PM

HAMILTON (Kanada), 8 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung pemindahan besar-besaran secara paksa yang berterusan di Semenanjung Gaza dan memberi amaran bahawa lebih 700,000 orang telah kehilangan tempat tinggal sejak gencatan senjata tamat pada Mac susulan operasi ketenteraan Israel yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Semalam, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan pemindahan paksa bagi sebahagian kawasan Khan Younis untuk kali kedua dalam tempoh dua hari. Rakan sekerja kami menganggarkan lebih 50,000 orang berada di kawasan yang dijadualkan untuk dipindahkan,” kata jurucakap PBB Stephane Dujarric pada sidang media.

“Kami mengingatkan anda bahawa sejak gencatan senjata berakhir pada Mac, lebih 700,000 manusia telah kehilangan tempat tinggal di Gaza, ramai antara mereka kehilangan tempat tinggal lebih daripada sekali dan mereka tiada tempat selamat untuk dituju,” katanya.

Dujarric berkata rakyat Palestin “dilaporkan terbunuh pada hujung minggu lalu ketika cuba mendapatkan makanan”, selain memaklumkan hospital kini “sesak” dengan pesakit yang cedera ketika mencari bantuan.

“Kami sekali lagi dengan jelas mengutuk pembunuhan semua orang awam,” katanya, sambil merujuk laporan terbaharu Program Makanan Sedunia yang menyatakan “satu daripada setiap tiga orang di Gaza tidak makan selama beberapa hari, menyebabkan lebih ramai berisiko kebuluran.”

Beliau turut menggesa Israel membuka semua lintasan bagi memudahkan pengagihan bantuan di wilayah itu, sambil menekankan bahawa “untuk bulan keempat berturut-turut, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan sebarang bekalan bahan api memasuki Gaza.”

“Bahan api adalah “nadi kehidupan” di Gaza dan pihak berkuasa Israel mesti membenarkan bekalan ini masuk tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya, sambil memberi amaran bahawa “Gaza boleh mengalami gangguan internet dalam masa terdekat akibat kekurangan bahan api.”

Beliau turut melaporkan bahawa tiga daripada lapan percubaan penyelarasan bantuan kemanusiaan telah ditolak Israel pada Ahad, sekali gus menghalang operasi kritikal.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan