KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio akan mengadakan lawatan ke Malaysia minggu ini bagi menghadiri beberapa mesyuarat serantau peringkat tinggi dan sesi libat urus dua hala, menjadikannya lawatan pertama beliau ke Asia sejak memegang jawatan awal tahun ini.
Menurut kenyataan di laman web rasmi Jabatan Negara AS, Rubio akan berada di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai dan dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) yang akan bermula Khamis ini.
Beliau juga dijangka mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Malaysia sepanjang lawatan tersebut.
“Lawatan ini menekankan semula fokus Washington untuk memperkukuh penglibatan di Indo-Pasifik.
“Rubio akan menegaskan komitmen AS dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan selamat.
“Sepanjang lawatan ini, Setiausaha Negara akan mengetengahkan kekuatan Perkongsian Strategik Komprehensif AS dengan ASEAN dalam memberikan manfaat kepada rakyat Amerika dan rakyat Asia Tenggara, selain komitmen AS untuk memperkukuh lagi Perkongsian Komprehensif dengan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kesemua menteri luar negara anggota ASEAN dijangka hadir, kecuali Myanmar yang hanya akan diwakili pegawai kanan kementerian luarnya. Menteri Luar Timor-Leste pula akan menyertai mesyuarat sebagai pemerhati.
Forum Serantau ASEAN (ARF), yang merupakan sebahagian daripada program Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), menghimpunkan ASEAN, rakan dialog dan pemain utama lain termasuk AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Australia.
Selain agenda rasmi, para menteri luar dijadualkan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dan pelbagai hala di sela-sela mesyuarat berkenaan.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Mesyuarat peringkat tinggi itu dijangka menarik kehadiran sekitar 1,500 delegasi, termasuk menteri luar negara anggota ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, peserta ARF, Rakan Dialog Sektoral dan pegawai dari Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial