AM

Penubuhan MMC: GKMM Sedia Kerjasama, Harap Kementerian Turut Adakan Libat Urus

09/06/2025 12:29 PM

JOHOR BAHRU, 9 Jun (Bernama) -- Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) sedia untuk bekerjasama dengan Majlis Media Malaysia (MMC) dalam usaha memartabatkan dan menjaga kepentingan kebebasan media di negara ini.

Presiden GKMM Mohamad Fauzi Ishak berkata gabungan yang menaungi 14 kelab media di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak itu, bagaimanapun berharap agar libat urus diadakan Kementerian Komunikasi bagi mengetahui bagaimana majlis itu menjalankan fungsi atau peranannya secara menyeluruh.

Beliau berkata perkara itu sekali gus akan dapat memastikan suara dan kebajikan pengamal media di peringkat akar umbi, akan turut diambil kira dalam setiap dasar serta inisiatif berkaitan industri media.

“Saya melihat terdapat keperluan dan ruang untuk (GKMM) wujud jalinan kerjasama dengan MMC, apatah lagi sekiranya GKMM dan MMC sendiri (nanti) mempunyai persamaan dari segi tujuan, bidang tugas dan sebagainya.

“Justeru, GKMM positif jalin kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan demi hak dan kebajikan yang terbela buat pengamal media di seluruh negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang turut dijemput pada program Jendela Fikir Edisi Hawana 2025 : Daripada Wartawan Untuk Wartawan di saluran Bernama Radio hari ini berkata pengumuman Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengenai MMC, merupakan antara perkara yang dinantikan gabungan itu.

Fahmi sebelum ini dipetik berkata penubuhan MMC adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara, serta memastikan pelaporan berita oleh media dilakukan secara bertanggungjawab.

Beliau berkata perkembangan baharu mengenai majlis itu juga dijangka akan diumumkan semasa kemuncak Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 pada 14 Jun ini.

Mohamad Fauzi dalam pada itu berkata GKMM sentiasa komited dan menyokong segala usaha bagi memperkasakan profesionalisme dan integriti dalam kalangan pengamal media, yang turut berperanan mendidik masyarakat.

“Seperti seorang guru, kita mendidik masyarakat agar menjadi individu yang berilmu pengetahuan dengan pelaporan yang sebenar. Oleh itu, pengamal media perlu profesional dan berintegriti, menyalurkan dan melaporkan maklumat secara tepat dan sahih serta tidak mengabaikan soal etika dan prinsip kewartawanan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata pengamal media yang terdiri daripada ahli-ahli kelab di seluruh negara ketika ini turut berdepan dengan kesukaran bagi mendapatkan maklumat daripada sumber asal, kepantasan penyebaran maklumat menerusi teknologi masa kini yang memerlukan kesahihan dan ketepatan serta hal berkaitan kebajikan pengamal media yang masih bertugas dan bersara.

“Corak pelaporan kita juga mengalami perubahan, jika dahulu, tidak wujud pun mobile journalism, kini wartawan kita sudah ke arah itu. Saya tidak melihat semua ini sebagai cabaran yang mendesak, tetapi semua ini transformasi dan revolusi yang berlaku dalam industri yang perlu untuk kita terima dan adaptasi.

“Begitu juga dengan kehadiran teknologi seperti kecerdasan buatan atau ChatGPT yang perlu dimanfaat dan disesuaikan dalam penugasan seharian. Justeru, pendedahan turut diperlukan dan perlu diberi secara berterusan (kepada pengamal media) dari semasa ke semasa bagi membolehkan dunia kewartawanan juga bergerak seiring dengan kepesatan teknologi,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata dianggarkan lebih 100 pengamal media di bawah naungan GKMM akan memeriahkan sambutan HAWANA yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada 13 hingga 15 Jun ini dan bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan