AM

Presiden Guinea Bissau Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

04/06/2025 12:14 PM

PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo yang tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi tiga hari semalam, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Ini merupakan lawatan Embalo yang pertama ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden pada Februari 2020.

Sebaik tiba pada 9 pagi Presiden Embalo disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan majlis sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Presiden Embalo kemudiannya memeriksa barisan kehormatan oleh tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Mejar Mohamad Waqiyudin Abd Rahman.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pegawai-pegawai kanan dan diplomat.

President Embalo kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar, dan agenda perbincangan kedua-dua pemimpin itu tertumpu kepada isu perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan pembinaan kapasiti.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal mesra, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau mencecah RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM4.04 juta manakala import bernilai RM0.06 juta.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan