TANAH MERAH, 30 Mei (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) hari ini melancarkan program Tuisyen Pintar Santuni MADANI bagi memberi manfaat kepada 300 pelajar khususnya dari Kampung Padang Siam dan Kampung Sat di sini.
Pengerusi MRC Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata program itu dilaksanakan di bawah inisiatif 'Satu Pemimpin Satu Kampung' yang turut dikenali sebagai Santuni MADANI, dalam usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi pemantauan secara langsung atau libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi serta keperluan penduduk di kampung tersebut.
"Tuisyen ini merupakan satu inisiatif pendidikan komuniti bertujuan meningkatkan pencapaian akademik para pelajar yang bakal menduduki SPM khususnya pelajar di jajahan ini.
"Program ini akan bermula Jun hingga November tahun ini secara serentak di Masjid Mukim Padang Siam dan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Fitrah, Kampung Sat, sebagai persediaan intensif kepada calon SPM," katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan program berkenaan di Masjid Mukim Padang Siam di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Suparadi berkata program itu dirangka berlandaskan empat objektif utama yang saling melengkapi dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan komuniti.
"Pertama, ia bertujuan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi pelajar yang memerlukan, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah melalui penyediaan kelas tuisyen secara intensif dan tersusun.
"Kedua, program ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Sains. Fokus ini diambil berikutan kepentingan subjek-subjek tersebut dalam peperiksaan awam serta masa depan akademik dan kerjaya pelajar," katanya.
Beliau berkata selain itu, inisiatif berkenaan bermatlamat mewujudkan sinergi antara ibu bapa, guru dan pelajar dengan menggalakkan sokongan menyeluruh serta kolaboratif terhadap proses pembelajaran sekali gus mampu membina persekitaran pendidikan yang berdaya saing.
"Objektif terakhir program ini juga adalah untuk menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang betapa pentingnya pendidikan sebagai asas kepada kemajuan negara yang mampan serta inklusif.
"Dengan penglibatan pelbagai pihak, program ini diharapkan dapat mengukuhkan budaya cintakan ilmu dan rasa tanggungjawab bersama dalam membentuk masa depan anak-anak kita," katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting sektor korporat dalam menyokong agenda pendidikan nasional dan memastikan tiada pelajar yang tercicir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial