KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia (SME Corp) Rizal Nainy menerima Anugerah Kepimpinan Perkhidmatan pada Majlis Anugerah Industri Malaysia (Minda) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 Ogos lepas.
SME Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan di bawah kategori Anugerah Kecemerlangan Industri itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut agensi itu, anugerah berkenaan merupakan penghargaan kepada Rizal sebagai pemimpin berwawasan atas dedikasi, integriti dan inspirasi transformatif dalam landskap ekonomi serta kemajuan negara.
“Anugerah berprestij ini juga mengiktiraf kepimpinan beliau menerajui SME Corp dalam usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Rizal menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai kejayaan bersama seluruh warga agensi berkenaan yang mengamalkan prinsip “T.E.A.M. - Together Everyone Achieves More” dalam melaksanakan mandat organisasi.
Rizal turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pengurusan dan kakitangan SME Corp atas kerja berpasukan yang mantap serta dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan setiap mandat yang diamanahkan kepada agensi itu.
“Melangkah ke hadapan, saya yakin SME Corp akan terus melaksanakan peranannya dengan berkesan, terutamanya menjelang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Ini penting bagi melonjakkan sumbangan PMKS terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 50 peratus melalui pelbagai inisiatif yang dirancang, termasuk strategi penskalaan PMKS bagi meningkatkan bilangan firma bersaiz sederhana daripada 1.6 peratus pada masa kini kepada lima peratus menjelang 2030,” katanya.
Minda 2025 yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) itu meraikan pencapaian usahawan, komuniti perniagaan, individu dan organisasi di atas kecemerlangan serta mengiktiraf sumbangan yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial