Kelibat bukan Islam khususnya pelancong, mengunjungi masjid-masjid utama di negara ini bukan fenomena luar biasa dengan Masjid Negara serta Masjid Putra di Putrajaya - yang turut digelar “Pink Mosque” oleh pelancong asing - antara tumpuan utama mereka.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sepanjang tahun lalu, tiga daripada masjid seliaannya, iaitu Masjid Putra, Masjid Negara dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (turut dikenali sebagai Masjid Besi Putrajaya) menerima hampir sejuta pelawat secara keseluruhan.
Sementara itu, Islamic Tourism Centre (ITC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pula dilaporkan berkata berdasarkan kajiannya pada 2018, terdapat lebih 80 buah masjid di negara ini yang berpotensi besar menjadi produk pelancongan Islam.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sewajarnya perkara itu diberi perhatian, lebih-lebih lagi untuk memperkukuh kedudukan Malaysia yang kekal di tangga teratas dalam Global Muslim Travel Index sebagai destinasi mesra Muslim selama 10 tahun berturut-turut sejak 2015.
MANFAATKAN TEKNOLOGI
Bagi tujuan itu, ITC mengesyorkan agar institusi masjid di negara ini memanfaatkan teknologi terkini untuk mempromosikan keindahan seni bina, nilai-nilai budaya serta ajaran Islam yang bersifat al-Din (cara hidup diredai Allah) kepada pelawat berpotensi.
pic-2
Pemangku Ketua Pengarah ITC Nur Alyssa Coraline Yussin berkata usaha itu bukan sahaja dapat menjadikan masjid sebagai institusi inklusif kepada semua, tetapi juga menjana pendapatan sampingan yang seterusnya dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan ummah.
“Teknologi mampu menjadi pemangkin kepada transformasi masjid sebagai destinasi pelancongan berunsur rohani dan komuniti. Melalui teknologi digital, masjid dapat memperluas capaian khalayak global secara interaktif dan lebih efektif,” katanya dalam temu bual dengan Bernama, di sini baru-baru ini.
Mengambil contoh penggunaan kod respons pantas (QR), beliau berkata kaedah itu membolehkan pelawat mengakses maklumat tentang masjid dan lain-lain yang berkaitan dengan pantas.
"Media sosial pula membuka ruang promosi yang luas dan berterusan kerana boleh berkongsi aktiviti komuniti, sesi ceramah atau kandungan pendidikan rohani secara kreatif, sekali gus menarik perhatian generasi muda dan pelawat. Teknologi ini juga bukan sahaja memudahkan penyampaian maklumat, tetapi mengangkat imej masjid sebagai tempat yang moden, relevan dan mesra komuniti," katanya.
Tambah beliau, masjid yang dilengkapi sistem interaktif dapat meningkatkan lagi keterlibatan pelawat dengan institusi itu, menjadi nilai tambah dalam usaha mendidik komuniti bukan Islam, khususnya pelancong asing tentang agama Islam.
Beliau turut mengesyorkan institusi masjid menggunakan pelbagai bahasa dalam sistem interaktif itu bagi membantu pelawat yang kurang fasih bahasa Inggeris.
PRODUK KELUARAN KOMUNITI
Selain itu, Nur Alyssa berkata masjid sebagai produk pelancongan Islam juga berpotensi meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat menerusi penjualan produk yang dihasilkan mereka seperti makanan dan kraf tangan.
pic-3
“Selain menjana ekonomi, produk yang dihasilkan itu turut berpotensi menjadi identiti tempatan dan tarikan tersendiri yang dapat menggalakkan kedatangan pelancong,” katanya.
Beliau berkata pihak pengurusan masjid juga boleh menganjurkan program berbentuk komuniti seperti Hari Terbuka Masjid yang memperkenalkan sejarah, seni bina serta peranan sosial masjid dalam masyarakat.
"Program seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman pelancongan yang unik, malah membuka ruang interaksi, dialog dan kefahaman merentas latar belakang agama dan budaya, seterusnya merapatkan jurang antara pelancong bukan Islam dengan komuniti setempat,” katanya.
LANGKAH INOVATIF
Merebut peluang menjadikan masjid sebagai institusi terbuka kepada semua, Masjid Sultan Idris Shah II di Perak menyediakan pelbagai langkah inovatif agar pengunjung dapat merasai kemesraan agama Islam terhadap penganut agama lain.
pic-4
Menurut Imam Besar masjid itu Abd Farid Salleh, pihaknya turut menyediakan penterjemah yang mahir selain kakitangan yang berkemahiran dalam industri hospitaliti.
"Selain itu, risalah dan buku maklumat yang diterbitkan dapat memberi panduan tentang sejarah dan amalan Islam. Malah informasi masjid juga disebarkan menerusi platform digital supaya pengunjung lebih mudah mendapatkan maklumat tentang masjid kami, iaitu hanya dengan melayari media sosial kami,” katanya.
Tidak terhad di situ, Abd Farid berkata produk keluaran penduduk seperti kerepek, kuih-muih dan kraf juga dijual di perkarangan masjid.
"Apabila ada produk-produk seperti ini, secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai produk halal dan mesra Muslim yang terdapat di negara ini," katanya.
KERJASAMA STRATEGIK
Untuk menjadikan pelancongan masjid lebih menyeluruh dan mampan, pendekatan kolaboratif antara masjid dan pemain industri amat penting, kata Nur Alyssa.
pic-5
Katanya dalam menjayakan inisiatif itu, masjid tidak boleh lagi berperanan secara bersendirian tetapi perlu menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan yang lebih luas.
Sebagai contoh, kerjasama dengan agensi pelancongan membolehkan masjid disenaraikan dalam itinerari pelancongan rohani atau budaya, sekali gus menarik lebih ramai pelawat yang ingin mengetahui mengenai Islam, katanya.
Tambah beliau, ITC bersedia untuk membantu menyediakan latihan Panduan Lawatan Masjid (MosVi) yang bertujuan melahirkan pemandu masjid berkemahiran dalam mengendalikan pelawat yang berminat untuk memahami institusi masjid serta peranannya dalam aspek sosial, pendidikan, budaya dan ekonomi dalam masyarakat. Modul kursus ini merangkumi tiga aspek utama iaitu pelancongan dan hospitaliti, komunikasi serta kemahiran teknologi maklumat.
Selain itu, premis penginapan khususnya hotel mesra Muslim pula boleh memainkan peranan dengan mempromosikan masjid berdekatan sebagai lokasi ziarah atau tempat ibadah yang selesa dan terbuka.
Nur Alyssa berkata penglibatan komuniti tempatan termasuk sukarelawan, badan bukan kerajaan, penjaja makanan halal dan penggiat seni budaya akan mewujudkan suasana yang lebih mesra dan meriah, kerana pengunjung bukan sahaja melawat tempat tersebut tetapi turut mengalami sendiri cara hidup masyarakat Islam di Malaysia.
"Melalui kerjasama strategik ini, pelancongan masjid tidak hanya menjadi satu produk pelancongan tetapi turut memberi impak ekonomi kepada komuniti setempat serta menyumbang kepada keharmonian sosial dan persefahaman antara budaya," katanya.
pic-6
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Mitra Kembara Dr Fazil Khan Abdul Kadir berkata rata-rata pelancong, baik yang beragama Islam ataupun bukan Islam, mereka sebenarnya sangat terbuka dan berminat untuk melawat masjid semasa melancong di Malaysia dengan syarat pengalaman yang ditawarkan relevan dan mudah diakses.
"Pelancong Islam semestinya berminat melawat masjid di negara yang dikunjungi, bukan hanya sebagai tempat ibadat tetapi juga kerana ingin merasai pengalaman rohani di negara lain.
“Bagi yang bukan Islam pula, mereka mungkin didorong oleh faktor seni bina yang unik, sejarah yang menarik dan keinginan untuk memahami budaya dan agama lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan sokongan institusi masjid dalam inisiatif itu seperti menyediakan maklumat jelas tentang etika lawatan serta garis panduan agar pelawat dapat melalui satu pengalaman yang menarik.
“Yang paling penting ialah layanan baik daripada semua pihak,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial