AM

Qari, Qariah Malaysia Muncul Juara Tilawah Antarabangsa Ke-65

09/08/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Malaysia mencipta kejayaan gemilang dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 apabila qari dan qariah negara dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing malam ini.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai johan kategori qari selepas meraih markah 97.01 peratus mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) serta wakil Turkiye Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi kategori qariah, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mengharumkan nama negara apabila mencatat markah sebanyak 95.88 peratus bagi mengatasi peserta Maghribi Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. 

Turut hadir Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Imam Masjid Nabawi, Madinah Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair.

Bagi kategori hafazan lelaki, Usamah Barghouth dari Jerman muncul juara dengan markah 98.25 peratus diikuti Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01 peratus) dan tempat ketiga Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25 peratus).

Peserta Syria Tasneem Arian Omar pula muncul johan bagi kategori hafazan wanita dengan markah 97.5 peratus diikuti Putri Auni Khadijah dari Malaysia di tempat kedua (96.75 peratus) dan ketiga ialah Najway Ali Zaydan Alkourbu dari Libya (95.51 peratus).

Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Bertemakan ‘Membangun Ummah MADANI’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan