AM

Agong Berangkat Melawat KHP, Antara Pengeluar Helikopter Terbesar Di Dunia

09/08/2025 11:17 PM

Daripada Noor Farhana Ahmad Norain

KAZAN, 9 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berangkat melawat Kazan Helicopter Plant (KHP), satu daripada pengeluar helikopter terbesar di dunia.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda yang diiringi Rais (Presiden) Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, disambut oleh Ketua Pengarah KHP Nikolai Yakovlev.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengiring, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Semasa lawatan itu, Sultan Ibrahim dipersembahkan taklimat mengenai operasi KHP, proses pembuatan serta teknologi terkini dalam penghasilan helikopter pelbagai kegunaan termasuk untuk tujuan komersial, ketenteraan dan misi penyelamatan, sebelum meninjau kemudahan pemasangan kenderaan berkenaan dan bilik pameran.

Seri Paduka Baginda kemudian diperkenalkan dengan rangkaian helikopter keluaran perusahaan Kazan, termasuk Mi-38 dengan kabin keselesaan tinggi, Mi-8MTV-1 dalam konfigurasi pengangkutan dan premium, serta helikopter ringan Ansat dalam varian polis dan perubatan.

Sultan Ibrahim turut meneliti bahagian dalaman beberapa buah helikopter di bilik pameran berkenaan.

Sebelum menamatkan lawatan, Seri Paduka Baginda mengunjungi pameran yang memaparkan keupayaan industri Tatarstan di bangunan ujian penerbangan baharu.

Lawatan ke Kazan, ibu negara Tatarstan, ialah sebahagian daripada Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong di Rusia, atas undangan Presiden Vladimir Putin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan