AM

RMK13 Perkukuh Komitmen Negara Terhadap Pembangunan Mampan, Inklusif - Nga

06/08/2025 03:41 PM

PUTRAJAYA, 6 Ogos (Bernama) --  Strategi dan inisiatif digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) berupaya mengukuhkan komitmen negara terhadap pembangunan mampan dan inklusif, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata RMK-13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lepas mencerminkan iltizam Kerajaan Perpaduan dalam merangka hala tuju pembangunan negara yang menyeluruh, mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat.

Nga berkata antara komponen utama yang diberi penekanan dalam RMK-13 adalah peluasan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam sektor pembinaan.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan kualiti kerja, malah menjimatkan kos, meminimumkan pembaziran serta mempercepat tempoh siap projek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penggunaan IBS dan BIM mampu melonjakkan produktiviti dan mengurangkan pembaziran bahan binaan, sekali gus menurunkan kos pembinaan, khususnya bagi projek perumahan awam.

Langkah ini, katanya dapat menyokong sasaran kerajaan untuk membina sejuta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, selaras dengan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan kediaman berkualiti, selesa dan mampu dimiliki rakyat.

Beliau berkata selaras aspirasi membangunkan bandar lebih terangkum, KPKT turut merangka strategi memperluas pelaksanaan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Dengan mengintegrasikan projek perumahan mampu milik dan sistem pengangkutan awam melalui konsep TOD, ia dapat memudahkan akses rakyat khususnya golongan B40 kepada peluang pendidikan dan pekerjaan,” katanya.

Nga berkata KPKT juga akan meneruskan perancangan perumahan berasaskan fakta dan pemacu data melalui pembangunan repositori maklumat perumahan bersepadu, selain meneliti langkah mewajibkan pemaju menyerahkan hak milik strata semasa serahan milikan kosong bagi melindungi hak pembeli rumah.

Beliau berkata kementeriannya turut komited membantu golongan miskin tegar bandar menerusi program pembinaan semula dan baik pulih rumah usang, dengan 4,814 unit rumah dibaik pulih dan 245 unit rumah baharu dibina pada 2023 dan 2024, membabitkan peruntukan RM104.4 juta.

Dalam aspek pengurusan sisa pepejal, Nga berkata KPKT akan memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran demi memastikan pengurusan sisa lebih efisien dan mampan.

“Pelbagai inisiatif dalam RMK13 selaras dengan prinsip KPKT bahawa tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir. RMK13 menjadi landasan penting bagi merealisasikan bandar masa depan yang lebih mampan, inklusif dan sejahtera untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan