AM

Lebih 2,600 Hektar Sawah Di Perlis Terjejas Banjir, Libatkan Pampasan Lebih RM780,000

06/08/2025 02:49 PM

KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu bahawa keluasan sawah terlibat banjir yang berlaku pada September hingga Disember tahun lepas di negeri berkenaan seluas 2,639.53 hektar melibatkan jumlah pampasan sebanyak RM780,146.28.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad berkata semua pesawah terjejas telah menerima sepenuhnya bayaran bantuan ihsan menerusi Skim Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

“Pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah memperkemas mekanisme pampasan sedia ada dalam kalangan pengusaha sawah itu menerusi Skim Takaful Tanaman Padi (STTP).

“Skim itu diuruskan oleh AgroCaptive Limited yang juga anak Syarikat Agrobank. Skim itu telah mengenal pasti 860 pengusaha sawah di negeri ini yang layak menerima pampasan STTP, khususnya pengusaha yang terlibat bencana banjir pada November dan Disember 2024 dan wajib berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada persidangan itu di Kompleks Seri Putra di sini hari ini, bagi menjawab soalan Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) yang ingin tahu status pengusaha sawah padi yang terkesan banjir bagi tempoh itu dan mengenai pembayaran bantuan atau pampasan.

Razali berkata di bawah STTP, pesawah terlibat layak menerima pampasan pada kadar RM1,500 per hektar bagi peringkat umur padi bawah 50 Hari Lepas Tabur (HLT) dan sehingga kini proses pembayaran pampasan melalui skim itu masih dalam peringkat semakan serta kelulusan pihak Agrobank dengan bayaran pampasan akan terus dimasukkan ke dalam akaun penerima.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan