AM

PCV20 Diluluskan KKM, Lindungi Individu Seawal 6 Minggu Hingga Warga Emas

04/08/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Pfizer Malaysia mengumumkan vaksin pneumokokal konjugat 20-valen (PCV20) telah diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan dalam kalangan individu seawal usia enam minggu hingga bawah 18 tahun serta dewasa 18 tahun dan ke atas.

Menurut kenyataan Pfizer, PCV20 menawarkan perlindungan terhadap 20 serotaip Streptococcus pneumoniae, bakteria yang boleh menyebabkan penyakit serius seperti pneumonia, meningitis, sepsis dan jangkitan telinga tengah.

Pengumuman itu dibuat ketika Malaysia masih berhadapan beban penyakit pneumokokal yang tinggi, khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta warga emas, dan penyakit itu antara punca utama kematian di negara ini, dengan meragut lebih 18,000 nyawa pada 2023.

Risiko jangkitan turut meningkat dalam kalangan warga emas dan penghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung serta paru-paru kronik.

Ketua Kluster Pfizer bagi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina Deborah Seifert berkata kelulusan itu satu pencapaian penting dalam usaha pencegahan penyakit di Malaysia.

“PCV20 mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong komuniti yang lebih sihat dengan membantu melindungi lebih banyak orang, merentasi lebih banyak peringkat kehidupan, daripada jangkitan yang berpotensi serius.

“Kami berbangga dapat memperkenalkan vaksin yang mencerminkan lebih dua dekad legasi dalam perlindungan pneumokokal,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Pernafasan Profesor Madya Dr Pang Yong Kek berkata penyakit pneumokokal sering kali tidak dikenal pasti sehingga sudah terlambat.

“Sepanjang saya merawat pesakit, saya telah menyaksikan ramai warga emas di Malaysia dimasukkan ke hospital akibat komplikasi pneumonia, ada yang memerlukan rawatan rapi dan ada pula yang mengambil masa lama untuk pulih.

“Malah, pneumonia penyebab utama kemasukan ke hospital bagi kes berkaitan pernafasan, dan tahap serius penyakit ini lazimnya meningkat seiring usia, sering kali sehingga memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kes yang kritikal.

 “Ini bukan kes yang jarang berlaku, sebaliknya menunjukkan satu corak yang boleh dicegah. Pneumonia pneumokokal khususnya ialah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksinasi,” kata beliau.

PCV20 dibangunkan berlandaskan vaksin terdahulu, PCV13 dengan tambahan perlindungan terhadap tujuh serotaip baharu, iaitu 8, 10A, 11A, 12F, 15B, 22F dan 33F yang dikaitkan dengan rintangan antibiotik dan penyakit invasif.

Serotaip pneumokokal yang sentiasa berubah merupakan cabaran utama dalam usaha mengawal penyakit itu, dan PCV20 diformulasikan untuk memberikan liputan serotaip lebih luas bagi menangani pola penyakit yang kian berkembang.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Jantung Kanak-Kanak Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata sistem imun kanak-kanak masih dalam proses perkembangan pada tahun-tahun awal dan ini menjadikan mereka paling terdedah kepada jangkitan serius seperti meningitis pneumokokal atau sepsis pneumokokal yang boleh membawa kesan jangka panjang.

“Setiap ibu bapa sudah tentu mahu memberikan permulaan hidup yang terbaik buat anak mereka, dan sebagai pakar pediatrik, kami melihat sendiri betapa pentingnya tahun-tahun awal dalam membentuk kesihatan sepanjang hayat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan