DUNIA

Risiko Kebakaran Di Jambi Meningkat, Tiada Titik Panas Di Kalimantan Barat

03/08/2025 09:59 PM

JAKARTA, 3 Ogos (Bernama) -- Agensi Meteorologi Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah di wilayah Jambi, Sumatera akibat hujan yang semakin berkurangan pada awal Ogos.

Ketua BMKG Dwikorita Karnawati berkata keadaan atmosfera di beberapa bahagian Jambi menunjukkan taburan hujan di bawah paras purata walaupun kini berada di kemuncak musim hujan.

“Kami meramalkan taburan hujan akan menurun secara mendadak kepada antara 20 dan 50 milimeter dalam tempoh 10 hari pertama Ogos. Ini menimbulkan kebimbangan terhadap peningkatan risiko kebakaran di beberapa kawasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dwikorita, peta kerentanan kebakaran menunjukkan sebahagian besar Jambi berada dalam zon biru berisiko rendah.

Bagaimanapun, zon merah dan kuning yang menunjukkan risiko kebakaran tinggi dan sangat tinggi dikesan dari 1 hingga 3 Ogos dan pada 5 Ogos, terutamanya di utara Jambi yang bersempadan dengan wilayah Riau.

BMKG akan mempergiat usaha pembenihan awan untuk menghalang pembentukan titik panas dan jerebu rentas sempadan. Tumpuan akan diberikan kepada kawasan berisiko tinggi, tambahnya.

Sementara itu, Presiden Prabowo Subianto telah memuji tindak balas bersepadu terhadap kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan Barat dengan tiada titik panas dikesan, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam satu kenyataan berasingan.

Semasa mesyuarat secara maya yang dihadiri oleh kementerian, agensi nasional dan kepimpinan wilayah Kalimantan Barat pada Sabtu, Prabowo menggesa agar sebarang kebakaran yang masih berlaku dipadamkan segera.

Walaupun terdapat kemajuan baru-baru ini, kerajaan wilayah melaporkan sebanyak 855 titik panas sepanjang minggu lalu, melibatkan kawasan seluas lebih 1,149 hektar.

Kalimantan Barat diletakkan di bawah status amaran darurat kebakaran hutan sejak 17 April, yang dijadualkan berkuat kuasa sehingga 31 Oktober, menurut BNPB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan