KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Peruntukan RM100,000 untuk setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dijangka menjadi pemangkin utama dalam memacu pembangunan sosioekonomi komuniti peneroka di seluruh negara.
Antara inisiatif pembangunan yang dicadangkan termasuk dalam sektor pelancongan, logistik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penambahbaikan kemudahan asas mengikut keperluan tempatan demi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Di SELANGOR, Hassan Mukmin Amat, 63, yang merupakan generasi kedua peneroka Felda Soeharto di Hulu Selangor, mencadangkan peruntukan itu digunakan untuk membangunkan sektor pelancongan sekali gus meningkatkan kemampanan ekonomi penduduk.
“Selain inap desa, macam-macam bentuk pelancongan yang kita boleh promosikan seperti bina taman rekreasi ATV atau trek lumba kereta lasak (motorcross) di kawasan Felda ini. Ini boleh menjadi nilai tambah dan daya tarikan yang tempat lain tidak tawarkan," katanya yang menetap di tanah rancangan itu sejak 1968.
Hassan turut mencadangkan agar pihak pengurusan memanfaatkan tarikan semulajadi yang ada di kawasan itu berikutan ramai pemancing tegar gemar memancing di sekitar Sungai Bernam berdekatan Felda tersebut.
Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Felda Jerangau Barat, Ajil Mat Zain Mat Uyob merancang untuk membeli traktor menggunakan peruntukan tersebut bagi mengurangkan kos pengangkutan kelapa sawit ke kilang pemprosesan yang terletak 40 kilometer jauhnya.
"Kini kami terpaksa membayar RM60 setiap tan untuk menyewa traktor. Dengan memiliki traktor sendiri, kos dapat dikurangkan dan pendapatan peneroka akan meningkat," katanya.
Di KEDAH, Timbalan Ketua Peneroka Felda Laka Selatan di Changlun, Rodhi Md Rejab berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk menambah bilangan kabin penginapan ekoran permintaan tinggi terhadap inap desa di kawasan itu.
"Sejak beberapa bulan lalu, kabin kami sentiasa mempunyai penyewa setiap minggu. Ini memberikan pendapatan tambahan kepada komuniti," katanya sambil menambah permintaan tinggi itu susulan lokasi strategik Felda berkenaan yang berhampiran institusi pengajian tinggi dan sempadan Thailand.
Di MELAKA, Pengerusi JPKKP Felda Hutan Percha di Alor Gajah, Nizam Baharom berkata peruntukan tersebut boleh digunakan untuk membantu peneroka yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) .
Katanya beberapa pengusaha industri hiliran kini mengusahakan makanan ringan seperti kerepek dan pastri secara kecil-kecilan di Felda itu dan peruntukan tersebut dapat membangunkan hab jualan bagi memudahkan mereka memasarkan produk dengan lebih teratur.
Di PERLIS, Pengerusi JPKKP Felda Chuping Selatan dekat Padang Besar, Abdul Khair Hashim berkata peruntukan itu memberikan ruang kepada komuniti merancang sendiri projek pembangunan seperti membaik pulih kemudahan asas, penganjuran program sosial dan pembudayaan gaya hidup sihat.
"Kita akan merancang secara teliti bersama penduduk dan pihak berkaitan agar peruntukan itu dapat digunakan secara optimum dan memberikan impak baik berpanjangan kepada kesejahteraan komuniti Felda Chuping Selatan," katanya.
Sementara itu di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebagai negeri yang mempunyai rancangan Felda terbanyak di negara ini, peruntukan tersebut amat bermanfaat kepada golongan peneroka.
"Kita berterima kasih dan bersyukur namun berharap peruntukan seumpama itu dapat ditambah pada masa akan datang untuk kebaikan warga Felda,” katanya yang turut mengharapkan golongan peneroka menggunakan peruntukan berkenaan sebaiknya bagi membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Peneroka Felda Wilayah Raja Alias di Jempol, Datuk Zainal Abidin Ahmad menyifatkan peruntukan RM100,000 untuk setiap kampung dapat membantu meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat peneroka itu sendiri.
"Sangat baik kerana kampung sendiri yang menentukan keperluan dan projek yang mereka mahukan kerana hanya penduduk setempat sahaja memahami apa yang sesuai untuk keperluan mereka sendiri," katanya yang menguruskan 49 Rancangan Felda di sekitar Wilayah Raja Alias itu.
Di JOHOR, Timbalan Ketua Peneroka Felda Wilayah Johor Bahru, Muhammad Fadzli Hasan meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) setiap Felda negeri itu untuk merancang projek yang mampu menjana pendapatan kepada organisasi dan komuniti setempat.
"Kita harap Felda-Felda dapat terus mengembangkan inisiatif ekonomi setempat yang mana pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan penduduk malah memperkukuh semangat berdikari dalam komuniti," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Felda untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh masyarakat setempat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial