AM

Bekas Pembantu Veterinar Bina Empayar Tenusu Sendiri Di Ipoh

03/08/2025 10:57 AM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 3 Ogos (Bernama) -- Demi mengejar impian dan keyakinan terhadap potensi produk tenusu tempatan, seorang bekas pembantu veterinar sanggup meninggalkan kerjaya tetapnya untuk membina empayar sendiri dalam industri berasaskan susu segar.

R Ratha Krishnan, 43, mengambil keputusan untuk bersara awal dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) lima tahun lepas dan menubuhkan Betalac Dairy House Sdn Bhd, sebuah syarikat pemprosesan tenusu berpusat di Jelapang, Ipoh.

Bermula dengan hanya menjual susu segar, syarikat itu kini menghasilkan beberapa produk termasuk yogurt, susu berperisa, mentega, minyak sapi, minuman lassi dan paneer atau keju susu.

“Saya nampak potensi besar dalam penghasilan produk berasaskan susu tempatan. Keluarga saya sudah lama terlibat dalam industri ini secara kecil-kecilan, jadi saya ambil langkah untuk besarkan skala dan beri nafas baharu.

“Kami juga merupakan syarikat di bawah program usahawan bimbingan DVS. Tiada ladang lembu sendiri tapi kita beli susu daripada penternak yang berdaftar dengan DVS dan kapasiti penggunaan susu segar bagi penghasilan semua produk adalah kira-kira 1,500 liter (l) seminggu dan mencecah 4,000 l sebulan,” kata pengasas syarikat itu kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun enggan berkongsi mengenai jumlah jualan dan pendapatan tahunan Betalec Dairy House kerana syarikat itu masih baharu.

Selain pengeluaran produk berasaskan susu, syarikat itu turut membangunkan inovasi mesin pemampat khusus untuk pembuatan paneer secara lebih bersih dan efisien.

Dikenali sebagai Paneer Compactio atau mesin pemampat paneer, ia direka untuk memampatkan dan membentuk blok keju susu dengan padat, kemas dan bersaiz standard.

“Kebiasaannya mesin hidraulik digunakan untuk pemampatan bahan tapi ia memakan modal besar kerana automatik. Jadi, kita cipta mesin ini dengan penggunaan manual dan kos hanya sekitar RM1,800 sahaja.

“Dulu kita guna cara konvensional seperti letak batu dan pemberat tapi ia kurang memuaskan dari aspek kesihatan. Lebih-lebih lagi apabila produk paneer kami mempunyai sijil Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan sijil halal,” katanya.

Dengan berat 32 kilogram (kg), Paneer Compactio yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu boleh dikendalikan secara sendirian dan mampu menghasilkan lebih 30kg paneer sehari.

Menurut Ratha Krishnan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Betalac Dairy House, mesin tersebut dibuat di Perak menggunakan idea dan spesifikasi syarikat dengan mengambil kira keperluan sebenar pengusaha kecil dan sederhana dalam industri tenusu serta makanan.

“Syarikat juga akan mengambil inisiatif untuk mendaftar produk ini dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya.

Inovasi syarikat itu turut membuahkan hasil apabila Produk Paneer Compactio merangkul tempat ketiga Anugerah Inovasi Industri (Produk) sempena Hari Inovasi DVS yang diadakan di Putrajaya pada 24 Julai lepas.

Mengenai perancangan seterusnya, beliau berkata syarikat kini dalam proses mengembangkan produk keju susu yang akan dilancarkan secara rasmi pada Agrofest Perak, September ini.

“Paneer buat masa ini boleh didapati di Perak, dan di Little India Pulau Pinang…dan kita juga bercadang membuka outlet kita sendiri. Kita juga bercadang untuk paneer ini dijadikan sebagai makanan seperti nugget seakan-akan isi ayam tapi ia vegetarian.

“Syarikat sudah mulakan penyelidikan berkaitan dan sedang bekerja rapat dengan pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan DVS agar pengguna vegetarian boleh menggunakannya tanpa was-was,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan