PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ke Tokyo dan Osaka baru-baru ini mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk terus meneroka kerjasama strategik dengan negara maju seperti Jepun demi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu selaras dengan pembangunan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 yang sedang dirangka.
KPT berkata penekanan kepada bidang keusahawanan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan bidang pendidikan latihan teknikal, vokasional dan kejuruteraan (TVET) berimpak tinggi adalah antara teras utama dalam memastikan mahasiswa Malaysia bersedia menyertai ekonomi masa hadapan yang dipacu inovasi.
Lawatan kerja Zambry adalah atas jemputan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA) pada 28 hingga 30 Julai lepas bertujuan memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Jepun dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan teknologi.
KPT berkata antara pengisian utama lawatan tersebut termasuk pertemuan dua hala dengan Pengerusi Majlis Penyelidikan Dasar Parti Demokratik Liberal (LDP) Jepun dan bekas Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Koichi Hagiuda yang membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan cabaran universiti masa kini serta potensi kerjasama dalam bidang inovasi dan ekonomi kreatif (orange economy).
Zambry turut melawat Universiti Tokyo dan diberi taklimat tentang program AI Startup yang dibangunkan khusus untuk pelajar prasiswazah dan pascasiswazah.
Menurut kenyataan itu, program tersebut telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya membina syarikat pemula niaga (startup) berasaskan AI dengan pendapatan tinggi dalam bidang masing-masing.
Inisiatif itu dipacu oleh Matsuo Lab Startup, yang menyediakan bimbingan mentor, ekosistem keusahawanan dan akses kepada teknologi terkini.
"Menteri menyatakan bahawa ini merupakan satu model yang wajar diteroka dan disesuaikan untuk pelaksanaan di Malaysia bagi memperkasakan mahasiswa sebagai pencipta nilai dalam ekonomi masa depan," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Zambry turut melawat National Institute of Advanced Industrial Science and Technology (AIST) yang memberi peluang kepada KPT meninjau teknologi terkini dalam bidang semikonduktor, AI dan pengkomputeran kuantum dan turut menekankan kerjasama antara AIST dan institusi penyelidikan Malaysia seperti MIMOS, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
KPT berkata Zambry turut bertemu Presiden Universiti Tsukuba Prof Kyosuke Nagata dan perbincangan memfokuskan kepada pengukuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia dan perluasan program ke tahap lebih tinggi termasuk kerjasama dalam bidang High-TVET.
Selain itu, KPT memaklumkan perbincangan awal Zambry bersama Dekan Pusat Kajian Malaysia Universiti Soka Prof Ichiro Sugimoto membuka peluang baharu untuk memperluaskan lagi pusat kajian ini dan juga beberapa kajian berkaitan perbandingan agama serta mewujudkan kerjasama penyelidikan antara Universiti Soka dan universiti tempatan.
Menurut KPT, Zambry berkesempatan melawat Kaneka Osaka Plant, sebuah pusat penyelidikan dan pengeluaran berteknologi tinggi yang berperanan penting dalam pembangunan bahan kimia dan bioteknologi terkini dan membincangkan kemungkinan pertukaran penyelidik dan pelajar antara Malaysia dan Jepun bagi memperkukuh pertumbuhan bakat dalam bidang berteknologi tinggi.
Selain itu, Zambry turut sempat melawat Pavilion Malaysia di Ekspo Osaka yang sedang berlangsung serta bertemu dengan pelajar-pelajar pascasiswazah Malaysia di Tokyo dan menegaskan komitmen berterusan KPT terhadap kebajikan dan sokongan kepada pelajar Malaysia di luar negara.
KPT memaklumkan Minggu Pendidikan Tinggi baru saja melabuhkan tirai pada 26 Julai lepas di Ekspo Osaka dengan tema 'Study in Malaysia', yang berjaya menerima 100,000 pengunjung dalam tempoh enam hari, sekali gus membuktikan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Malaysia di pentas antarabangsa.
Ekspo Osaka dianjurkan setiap lima tahun melibatkan penyertaan 158 buah negara dengan kehadiran jutaan pengunjung dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial