AM

PSAS Lancar Stesen Pengecas EV Pertama Di Institusi Politeknik

31/07/2025 02:48 PM

IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) melancarkan Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik TNB Electron pertama, dalam memperkukuh ekosistem latihan teknologi kenderaan elektrik di bawah inisiatif Polytechnic Centre of Technology Automotive and Manufacturing (POLCAM).

PSAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran tersebut adalah hasil kerjasama strategik antara PSAS dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dimeterai sejak 2023 dan ia telah membuka jalan kepada pemasangan tersebut, menjadikannya yang pertama dipasang bersama institusi poliktenik di Malaysia.

“Usaha ini selaras dengan agenda nasional memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik serta mengukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang teknologi hijau, seiring sasaran Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Dilengkapi pengecas pantas 120kW dwi-nozel, kemudahan ini boleh diakses 24 jam, lengkap dengan parkir EV dan pembayaran mudah alih (mobile apps). Ia bukan sahaja memanfaatkan warga politeknik dan komuniti sekitar, malah memberi kemudahan kepada pengguna yang keluar dari lebuh raya utama untuk ke laluan utara-selatan,” menurut kenyataan itu.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail dan dihadiri pengurusan TNB, pengurusan PSAS, serta rakan industri dalam bidang teknologi automotif dan elektrik pada 29 Julai lepas.

Sementara itu, Mohd Zahari berkata kerjasama berkenaan bukan sahaja melengkapkan ekosistem latihan teknologi kenderaan elektrik POLCAM PSAS, malah memberi nilai tambah kepada pembangunan kemahiran pelajar dalam bidang EV.

“Pendedahan ini membolehkan mereka lebih bersedia memasuki industri automotif elektrik dan tenaga yang boleh diperbaharui, dengan lebih yakin.

“PSAS mengucapkan penghargaan kepada pihak TNB atas kerjasama erat yang membuka peluang kepada pelajar politeknik mengaplikasikan latihan praktikal berkaitan pengecasan dan penyelenggaraan EV di stesen pengecas yang sebenar, selain menyediakan peluang penyelidikan dan pembangunan bersama industri,” katanya.

Turut berlangsung Karnival Kenderaan Elektrik PSAS yang dianjurkan pada 28 hingga 29 Julai lepas, mempamerkan teknologi terkini EV selain sesi pandu uji EV oleh rakan industri, pameran industri automotif elektrik, dan perkongsian ilmu dalam bidang automotif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan