KOTA KINABALU, 21 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman mahu setiap lapisan pentadbiran dan kepimpinan negeri ini memartabatkan integriti bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan sentiasa terpelihara.
Beliau berkata menerusi kepimpinan berwibawa dan disertai sokongan seluruh lapisan masyarakat, Sabah akan terus maju dan makmur.
“Adalah menjadi hasrat saya untuk memastikan negeri ini terus ditadbir dengan penuh integriti, amanah dan bijaksana serta dibangunkan dengan perancangan yang mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya dalam Perutusan Khas Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Yang Dipertua Negeri Sabah di sini hari ini.
Beliau menyampaikan perutusan itu pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat Kehormat Negeri Sabah 2025 di Istana Seri Kinabalu hari ini menyaksikan 60 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat masing-masing.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan pemimpin kerajaan negeri.
Musa berkata pelbagai usaha pembangunan perlu dipertingkatkan untuk memastikan kemajuan negeri secara mampan dan terangkum, dengan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan menghadapi cabaran global dengan pendekatan progresif, termasuk penggalakan inovasi teknologi dan pembangunan modal insan berkualiti serta pengukuhan sektor ekonomi yang berdaya tahan.
"Pembentukan masyarakat yang dinamik dan berdaya saing amat penting bagi menjamin kelangsungan pembangunan negeri secara mampan," katanya.
Musa turut menyeru agar perpaduan dalam kalangan rakyat terus dipelihara kerana ia merupakan asas kekuatan keharmonian yang menjadi tunjang kepada keamanan serta kemajuan negeri.
Beliau turut memuji kepimpinan Hajiji dan anggota Kabinetnya yang komited memajukan Sabah.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim mendahului senarai penganugerahan hari ini dengan dianugerahkan Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.
Turut menerima SPDK ialah ahli perniagaan Datuk Ahmad Fuad Md Ali dan Datuk Albert Lim Yu Ming.
Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) membawa gelaran “Datuk” menyaksikan sebanyak 37 penerima hari ini antaranya Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang.
Penerima PGDK lain ialah Ahli Dewan Negara Anna Bell@Suzieana Perian, Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim dan Pengerusi Amanah Sabah Lahirul Latigu.
Turut menerima PGDK ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Alexander Siew How Wai, Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah SAC Abdul Rahman Ishak, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Maria Suleiman dan wartawan berpengalaman Emin Madi yang juga pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah.
Sesi pertama istiadat itu turut menyaksikan lima individu menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), masing-masing empat bagi Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Bintang Setia Kinabalu (BSK) manakala enam bagi Jaksa Pendamai.
Terdahulu, Musa dengan diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin menghadiri upacara perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Dipertua Negeri Sabah di Padang Merdeka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial