Daripada Rohani Mohd Ibrahim
NANNING (China), 17 Sept (Bernama) -- Firma China, Guangxi Beibu Gulf International Port Group Co. Ltd (Beibu Gulf Port Group) menyasarkan untuk meningkatkan lagi pelaburannya di Malaysia berikutan kejayaan usaha itu di Kuantan pada 2013.
Timbalan Pengurus Besarnya, Zhou Yan berkongsi keyakinan itu kepada Bernama di sini, pada Selasa ketika ditanya mengenai hasrat menambah pelaburan berkenaan.
“Ya, sudah pasti (akan membuat pelaburan lanjut di Malaysia). Cuma, maaf, saya tidak dapat memberi butiran lanjut mengenainya.
“Bagi saya, ini peluang bagi kumpulan untuk terus menjalin kerjasama erat dengan rakan usaha sama kami,” katanya ketika ditemui di luar sesi lawatan kumpulan wartawan Asia Pasifik ke Pusat Pameran Beibu Gulf Port di Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu di sini pada hari Selasa.
Ditanya sama ada pelaburan lanjut itu akan dibuat di Kuantan atau pelabuhan lain, Zhou berkata pihaknya melihat kepada kedua-dua prospek itu.
Beliau juga secara peribadi berharap usaha itu dapat dilakukan dalam masa terdekat, namun mengakui ini juga bergantung kepada usaha menyelesaikan banyak perkara lain berkaitan.
Zhou berkata beliau juga kini berulang-alik ke Malaysia setiap bulan.
“Saya suka Malaysia. Sebuah negara yang baik dan cantik. Ekonominya juga berkembang dengan pesat,” katanya.
Dalam pada itu, maklumat dan gambar berkaitan pelaburan Beibu Gulf Port Group di Pelabuhan Kuantan turut diketengahkan di bilik pameran itu yang menjadi antara pelaburannya di pelabuhan laut asing.
Syarikat itu merupakan perusahaan milik kerajaan dan di bawah Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, kata kenyataan syarikat berkenaan.
Menerusi kenyataannya, Beibu Gulf Port Group berkata syarikat yang ditubuhkan pada 14 Februari 2007 itu dibentuk menerusi penggabungan aset dermaga awam dari tiga bandar pesisir iaitu Fangchenggang, Qinzhou dan Beihai yang sekali gus menerajui integrasi pelabuhan rentas wilayah pentadbiran di China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial