DUNIA

Semua Motosikal Baharu Di Singapura Wajib Dilengkapi ABS Mulai April 2027

16/09/2025 10:25 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Sept (Bernama) -- Singapura akan mewajibkan semua motosikal yang didaftarkan mulai 1 April 2027 dilengkapi Sistem Pembrekan Antikunci (ABS), sekali gus menjadi negara ASEAN pertama melaksanakan langkah itu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

LTA memaklumkan motosikal sedia ada tanpa ABS tidak perlu dipasang semula sistem itu.

“Sehingga akhir 2024, kira-kira separuh daripada jumlah motosikal di Singapura sudah dilengkapi ABS. Industri automotif diberi tempoh peralihan 18 bulan untuk menghabiskan stok sedia ada dan membawa masuk model baharu dengan ABS,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

LTA berkata peraturan baharu itu bertujuan meningkatkan keselamatan penunggang motosikal, pembonceng serta pengguna jalan raya lain.

ABS mengurangkan risiko tergelincir dengan mengawal tekanan brek serta mengekalkan kestabilan kenderaan ketika membrek secara mengejut atau kuat.

Kajian antarabangsa menunjukkan motosikal dilengkapi ABS mempunyai kadar kemalangan maut 37 peratus lebih rendah berbanding motosikal tanpa sistem itu.

Menurut Laporan Keadaan  Trafik Jalan Raya Tahunan 2024 Polis Trafik, kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal meningkat 20.8 peratus, manakala jumlah kematian penunggang dan pembonceng meningkat 25 peratus pada 2024 berbanding 2023.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan