AM

Satu Lagi Lubang Benam Di Jalan Gua Musang-Lojing, Laluan Ditutup Selorong

16/09/2025 06:55 PM

GUA MUSANG, 16 Sept (Bernama) -- Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 78 di sini ditutup selorong susulan insiden lubang benam terbaharu yang dikesan pada 12 Sept lepas.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata lubang benam sedalam 0.1 meter dan 15 meter panjang itu berlaku berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke.

“Jalan Gua Musang-Lojing yang mempunyai empat lorong kini ditutup selorong di kedua-dua arah kepada semua kenderaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Soh berkata kejadian lubang benam itu dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah serta di tepi pembetung di kawasan berkenaan, selain hujan lebat berterusan yang meningkatkan risiko mendapan.

Beliau berkata JKR sentiasa memantau kawasan berkenaan dan telah melaksanakan pelan pengurusan trafik bagi memastikan keselamatan pengguna.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo menasihatkan pengguna jalan raya supaya memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan bagi mengelakkan kemalangan.

Sejak tahun lepas, terdapat lima kejadian lubang benam berlaku di Kilometer 78 Jalan Gua Musang-Lojing dengan insiden pertama dan kedua masing-masing dikesan pada 23 Nov serta 12 Dis 2024.

Ini diikuti tiga lagi kejadian pada tahun ini, iaitu pada 15 Mac, 7 Ogos dan 12 Sept.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan