AM

Bernama Mulakan Misi Liputan Lapan Hari Ke Timor-Leste

16/09/2025 09:38 AM

Daripada V.Sankara

DILI, 16 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini memulakan misi liputan selama lapan hari ke Timor-Leste selaku media rasmi dan penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Delegasi diketuai Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak tiba di sini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 kira-kira 7.30 pagi waktu tempatan menerusi penerbangan terus Batik Air.

Batik Air merupakan satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Dili, setiap Isnin dan Jumaat.

Sejurus tiba, delegasi Bernama sempat bertemu dengan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao di Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato.

Mereka kemudian turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Datuk Amarjit Singh di pejabat Kedutaan Malaysia di sini.

Dalam taklimatnya, Amarjit berkata Malaysia telah memainkan peranan penting dalam usaha membantu Timor-Leste bersedia untuk menyertai ASEAN.

Beliau berkata sokongan berkenaan merangkumi latihan teknikal, pemberian biasiswa dan peluang melanjutkan pengajian tinggi.

Lebih daripada 1,000 pegawai Timor-Leste telah menerima latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) sejak 2000.

“Malaysia sentiasa menyokong Timor-Leste, daripada pembukaan kedutaan ASEAN pertama di Dili pada 2002 sehingga menyediakan bantuan berterusan dalam pembangunan kapasiti,” katanya.

Timor-Leste yang mencapai kemerdekaan pada 2002 secara rasmi memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011. Pada 2022, ASEAN bersetuju secara prinsip menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11.

Pada Mei lepas, pemimpin ASEAN bersetuju menerima negara berkenaan sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober ini.

Dengan jumlah penduduk kira-kira 1.4 juta, Timor-Leste ialah negara “termuda” di Asia Tenggara.

Sebagai sebahagian daripada misi berkenaan, Bernama akan mengadakan wawancara ekslusif dengan Presiden José Ramos-Horta selain berjumpa dengan pemimpin, pelajar, pengusaha dan wakil masyarakat.

Misi berkenaan bermatlamat memperkukuh liputan mengenai hubungan ASEAN dengan Timor-Leste menjelang keanggotaan penuh negara itu.

 -- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan