KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) -- Sebanyak tujuh kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Kampung Kopungit, Kepayan di sini sejak semalam dan dua rumah mengalami kerosakan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata pihaknya menerima laporan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kopungit mengenai situasi itu hari ini dan telah melakukan pemeriksaan bersama agensi-agensi terlibat.
Beliau berkata hasil pemeriksaan pegawai daripada Jabatan Mineral dan Geosains Sabah mendapati struktur tanah di kawasan itu tidak stabil.
“Sekiranya keadaan cuaca hujan berterusan kawasan berisiko tinggi berlaku runtuhan susulan yang mengancam keselamatan penduduk.
“Pasukan bomba dan agensi terlibat telah mengarahkan dua keluarga untuk berpindah ke Balai Raya Kampung Kopungit. Pemantauan berterusan dijalankan dan maklumat akan dikemas kini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Penduduk Mazlan Dullah, 37, menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan keluarga dan jiran-jiran di kawasan berkenaan dan setiap kali hujan penghantar barangan berasa risau.
"Kami tidak boleh tidur lena sejak kejadian tanah runtuh semalam. Setiap kali hujan, hati kami berdebar-debar kerana takut tanah runtuh lagi," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.
Rahmah Kitin, 45, seorang pembantu kedai memohon pihak berkuasa mencari penyelesaian jangka panjang, penduduk keberatan untuk berpindah kerana kawasan itu tanah warisan mereka.
“Kami juga bukan orang senang, tidak mampu untuk pindah ke rumah baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial