JENAYAH & MAHKAMAH

Pekerja Kuari Tertimbus Runtuhan Batu Di Raub

14/09/2025 10:51 AM

KUANTAN, 14 Sept (Bernama) -- Seorang pekerja kuari dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di Kuari IJM, Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub kira-kira 12.50 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata mangsa Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu dari kawasan bukit berhampiran.

“Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera yang dipandunya, sebelum dihempap dan tertimbus. Radius kawasan yang tertimbus dianggarkan 300 meter, manakala kedalaman kawasan tertimbus belum diketahui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tiga lagi pekerja warga asing mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Raub.

Mohd Shahril berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada semalam yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pelbagai agensi lain berdepan kesukaran berikutan masih berlaku pergerakan tanah. 

“Pasukan Bomba telah memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM yang dijangka memulakan operasi mengesan mangsa hari ini. SAR pada hari pertama ditangguhkan kira-kira 7.30 malam kerana keadaan lokasi yang gelap,” katanya.

Operasi SAR diteruskan 8 pagi hari ini.  

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan