JERTIH, 13 Sept (Bernama) -- Kampung Keluang di sini bakal menjadi model program pencegahan dadah bermula dari peringkat sekolah rendah melalui inisiatif Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pemilihan Kampung Keluang sebagai Kampung Angkat adalah berdasarkan situasi penyalahgunaan dan penagihan dadah di daerah Besut yang merupakan antara tertinggi di Terengganu, iaitu merekodkan sebanyak 872 individu per 100,000 penduduk.
“Melalui inisiatif ini, keperluan untuk intervensi dan program pencegahan dadah yang lebih tersusun dan bersepadu dapat ditumpukan di peringkat akar umbi.
“Sehubungan dengan itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Keluang turut dipilih untuk menerapkan pendidikan dan kesedaran antidadah sejak di bangku sekolah lagi,” katanya pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI AADK di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh.
Saifuddin Nasution berkata menerusi program itu, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada AADK untuk melaksanakan beberapa projek di Kampung Keluang seperti membaik pulih dan menaik taraf gelanggang futsal, pembaikan jalan masuk dan dataran di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), pemasangan lampu jalan diod pancaran cahaya (LED) solar dan pembaikan jalan utama di sekitar kampung.
“Peruntukan juga termasuk aktiviti gotong-royong dan keceriaan meliputi kerja-kerja pembaikan kecil di Masjid Kampung Keluang, mengecat semula Tabika KEMAS dan kerja-kerja pembersihan jalan utama serta longkang di sekitar kampung selain inisiatif kesedaran pencegahan dadah,” katanya.
Tambah beliau, SK Keluang pula telah menerima pelbagai peningkatan kemudahan dan infrastruktur baharu seperti pembekalan kerusi dan meja kantin, pemasangan penyaman udara, sistem siar raya serta pembaikan kecil seperti bumbung surau dan kantin.
Kejayaan program terbabit, katanya amat bergantung kepada penglibatan aktif seluruh komuniti Kampung Keluang untuk bersama-sama AADK dalam menjayakan agenda murni itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial