ISTANBUL, 13 Sept (Bernama-Anadolu) -- Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter melanda wilayah timur jauh Rusia pada 6.37 pagi waktu tempatan Sabtu (0237GMT), lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pusat gempa dilaporkan terletak di luar pesisir Petropavlovsk-Kamchatsky, pusat pentadbiran Wilayah Kamchatka pada kedalaman 39.5 kilometer.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS memaklumkan gelombang “berbahaya” berkemungkinan berlaku di sepanjang pantai dalam lingkungan 300 kilometer dari pusat gempa.
Petropavlovsk-Kamchatsky menempatkan pangkalan kapal selam Rybachiy milik Tentera Laut Rusia dan pangkalan udara Yelizovo milik tentera udara negara itu.
Setakat ini tiada laporan mengenai korban jiwa atau kerosakan.
Pihak berkuasa Rusia mengeluarkan amaran tsunami di sepanjang pesisir pantai Kamchatka, meletakkan perkhidmatan dalam keadaan berjaga-jaga serta menggesa penduduk menjauhi kawasan yang terdedah kepada ancaman tsunami.
Pada 30 Julai lalu, semenanjung itu mengalami gempa bumi terkuat berukuran 8.8 pada skala Richter, sementara saintis Rusia merekodkan lebih 100 gegaran susulan melebihi 5.0 pada skala Richter selepas gegaran utama.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial