KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Sabah menggesa pertambahan kerusi Parlimen bagi negeri itu pada mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching, Sarawak, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata tuntutan itu selaras dengan semangat MA63 untuk melindungi kepentingan negeri berkenaan.
“Perdana Menteri secara prinsipnya bersetuju tetapi menyatakan perkara itu memerlukan perbincangan teliti pada peringkat teknikal memandangkan ia akan melibatkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan. Inilah kenapa hubungan baik kerajaan negeri-Persekutuan itu penting,” katanya dalam kenyataan.
Hajiji berkata mesyuarat itu yang berlangsung dalam suasana mesra turut membincangkan cadangan untuk meletakkan pelancongan di bawah Senarai Bersama (Perlembagaan Persekutuan) yang akan dirujuk kepada jawatankuasa teknikal.
Delegasi Sabah terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, beberapa menteri negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menyambut baik pelancaran Projek Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) bernilai RM7.6 bilion dan menyifatkan projek itu sebagai langkah penting untuk meningkatkan keterhubungan dan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam perdagangan dan pelancongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial