PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur akan menyediakan unit kediaman yang mampu dimiliki oleh kaum Melayu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha berkata pihaknya melalui Jabatan Wilayah Persekutuan sedang berusaha memastikan harga kediaman yang dibangunkan kelak berada pada paras mampu milik agar tidak membebankan bakal pembeli.
“Bagi pihak saya dan Jabatan Wilayah Persekutuan, kami juga dalam proses untuk memastikan supaya pemilikan mampu milik atau boleh dimiliki oleh rakan-rakan atau kawan-kawan berbangsa Melayu.
“Kami tak kata bangsa Melayu tak boleh memiliki kalau hartanah harga tinggi, ada sahaja orang Melayu yang mampu tetapi kami telah berusaha untuk memastikan harga adalah harga yang boleh mampu milik,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Dr Zaliha berkata kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengetepikan isu Tanah Rizab Melayu dalam pelaksanaan pembangunan semula kampung berkenaan.
“Kami sebagai kerajaan akan membantu untuk memudahkan dan mereka dapat kembali ke kampung mereka,” katanya, bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mencadangkan agar pemaju projek berkenaan membina perumahan yang mampu dibeli oleh kaum Melayu demi memelihara dan mengambil kira kepentingan kaum majoriti itu.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru itu dijangka memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan moden, selain pampasan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit bagi sesetengah pemilik rumah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial