KULAI, 12 Sept (Bernama) -- Insiden van jenazah milik Surau Nurul Haq, Kampung Sayong 1 remuk akibat kemalangan selepas dicuri baru-baru ini, mendapat perhatian pelbagai agensi yang tampil menghulurkan bantuan berjumlah RM170,000 kepada pentadbiran surau itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu meliputi RM100,000 daripada Lembaga Tabung Haji, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM50,000) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (RM20,000).
“Insiden van jenazah dicuri sebelum terbabit dalam kemalangan telah menyentuh hati ramai pihak. Alhamdulillah masyarakat kampung kini bakal memiliki sebuah van jenazah baharu lebih selesa dan selamat untuk kegunaan mereka,” katanya pada majlis penyerahan cek cura di surau itu hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
Mohd Na’im turut merakamkan penghargaan kepada Teo kerana memberi sumbangan awal RM15,000, selain syarikat swasta QR Oyes Sdn Bhd berjumlah RM5,000 bagi meringankan beban surau tersebut.
Beliau berkata, sumbangan RM20,000 daripada YaPEIM khusus untuk program pengimarahan surau, termasuk aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan bagi menyatukan penduduk kampung.
Sementara itu, Teo berkata berbesar hati dan terharu dengan sumbangan tersebut dan menyifatkannya sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan yang peka terhadap permasalahan rakyat.
Pada 4 Sept, Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata van jenazah jenis Toyota Hiace itu dicuri seorang lelaki berusia 21 tahun antara l hingga 2 pagi, sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Skudai pada 2.30 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial