DUNIA

Malaysia-Australia Zahir Komitmen Perkukuh Kerjasama Dua Hala Bawah Kerangka CSP

12/09/2025 03:32 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Australia komited untuk mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala mereka merentasi pelbagai sektor, didorong oleh Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Australia Penny Wong mengesahkan kekuatan CSP yang berpandukan tiga teras utama iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Kenyataan itu dibuat pada Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia kali ketujuh (AFMM) yang dipengerusikan bersama oleh Mohamad dan Wong di Melbourne, Australia pada Jumaat, menurut Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pihak turut mengalu-alukan kemajuan pemuktamadan perjanjian baharu dalam bidang imigresen, jenayah rentas negara, pendidikan, penguatkuasaan maritim dan pemudahan perdagangan.

Menyentuh aspek perdagangan dan pelaburan, mereka bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau, pertanian dan makanan, tenaga, teknologi digital serta mineral kritikal, selain meningkatkan kerjasama dalam industri halal.

“Kedua-dua Menteri menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan, termasuk melalui penambahan biasiswa kepada pelajar Malaysia, peluasan program mobiliti, pengembangan operasi universiti-universiti Australia di Malaysia, serta memudahcara syarat visa bagi pelajar Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua Menteri turut menzahirkan iltizam dalam bidang khususnya kerjasama di bawah Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA), Program Pertahanan Bersama Malaysia–Australia dan Operasi REDBACK.

Mereka juga bersetuju untuk memperkukuh keselamatan maritim, memerangi keganasan, ketahanan siber dan usaha menangani jenayah rentas negara, menurut kenyataan itu.

Semasa mesyuarat itu, Wong turut menyuarakan sokongan Australia terhadap Kepusatan ASEAN dan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.

Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Mohamad dan Wong membincangkan perkembangan terkini di Laut China Selatan, Myanmar, konflik Kemboja-Thailand dan situasi di Palestin.

“Kedua-dua Menteri juga menegaskan komitmen bersama ke arah Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur, serta menekankan bahawa Malaysia dan Australia kekal sebagai rakan rapat yang bekerjasama menangani cabaran global dan membina peluang masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat diakhiri dengan pemeteraian Kenyataan Bersama Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri Ketujuh.

Malaysia dan Australia menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957. Pada 27 Jan 2021, hubungan itu telah ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan