AM

Kepelbagaian Makanan Resipi Perpaduan Rakyat Malaysia Di Pulau Mutiara

12/09/2025 05:04 PM

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 12 Sept (Bernama) -- Menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, Pulau Pinang sekali lagi membuktikan bahawa makanan bukan sekadar pengisi perut, tetapi ejen perpaduan yang menyatukan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata perpaduan di negeri ini bukan hanya retorik, malah elemen itu boleh dilihat, dirasa dan dinikmati melalui kepelbagaian makanan tempatan.

"Kepelbagaian juadah di sini seperti nasi kandar, char kuetiau dan pasembor bukan sahaja menjadi identiti Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan, tetapi turut berperanan sebagai medium penyatuan rakyat berbilang kaum.

"Bersempena dengan Hari Malaysia, marilah kita menjadikan meja makan sebagai jambatan perpaduan, tempat kita ketawa, berkongsi cerita, dan meraikan kepelbagaian sebagai kekuatan sebenar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata apabila rakyat berbilang kaum duduk semeja menikmati juadah, perbezaan bangsa atau agama tidak lagi dilihat kerana yang diraikan hanyalah rasa, kebersamaan dan identiti Malaysia.

Wong menyifatkan pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 5 Dis 2024 terhadap budaya sarapan pagi Malaysia sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan membuktikan bahawa makanan memainkan peranan penting dalam mencerminkan identiti nasional.

Bagi Sarada Devi Marimuthu, 48, makanan sentiasa menjadi medium perpaduan yang menyatukan keluarganya dengan rakan serta jiran daripada pelbagai kaum sejak kecil lagi.

Dilahir dan dibesarkan di Selangor, Sarada yang kini menetap di Pulau Pinang sejak 2013 berkata segala sambutan perayaan amat bermakna apabila jiran tetangga berbilang kaum datang menikmati hidangan tradisi kaum India seperti kari ayam, nasi minyak sapi, peratal kambing dan tose. 

Dia berkata Hari Malaysia baginya ialah hari kesyukuran kerana rakyat di negara ini sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, sama seperti kepelbagaian nasi lemak, roti canai, dan laksa yang boleh wujud bersama.

Menurutnya, kepelbagaian juadah seperti nasi kerabu, sate, cendol, muruku dan durian juga menjadikan pertemuan dengan rakan-rakan lebih meriah serta mencerminkan semangat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian.

Doktor gigi yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Pulau Pinang, Jeannette Wong, 36, pula berkata makanan ialah sebahagian besar daripada kehidupan masyarakat di negara ini, malah banyak aktiviti dirancang ketika sedang menikmati hidangan. 

"Melalui makanan, kita boleh memahami budaya, agama dan latar sosial masing-masing. Setiap kali kita membuka minda untuk mencuba makanan daripada budaya lain, itulah peluang untuk menghargai dan mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Pensyarah kelahiran Perak, Nor Amin Hassan, 38, yang kini menetap dan bekerja di Pulau Pinang berkata makanan ialah cara paling semula jadi untuk menyatukan rakyat yang jelas kelihatan ketika masyarakat daripada pelbagai latar belakang beratur di gerai yang sama.

“Saya berharap generasi muda lebih menghargai nilai kepelbagaian. Perpaduan bukan bermaksud kita harus menjadi serupa, tetapi tentang menghormati perbezaan dan meraikan keunikan. 

"Sama seperti satu hidangan yang lengkap kerana pelbagai ramuan, Malaysia juga kuat kerana rakyatnya yang berbilang kaum,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" diadakan pada 16 Sept di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth dekat sini, dengan pelbagai pengisian menarik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan acara pada 8.30 malam, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan