PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Industri pelancongan Malaysia menjana RM291.9 bilion, menyumbang 15.1 peratus kepada ekonomi pada tahun lepas, menurut Akaun Satelit Pelancongan 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada 2023, industri itu menyumbang 14.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana RM271.9 bilion.
“Dari segi prestasi, industri pelancongan berkembang sebanyak 7.4 peratus berbanding 10.9 peratus pada 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi prestasi mengikut sektor, beliau berkata perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus, diikuti makanan dan minuman (5.7 peratus) dan perkhidmatan lain seperti kesihatan, pendidikan, mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) serta spa pada kadar 9.9 peratus.
Prestasi itu disokong oleh perdagangan runcit dengan sumbangan sebanyak 52.9 peratus (RM154.5 bilion), diikuti makanan dan minuman pada 16.3 peratus (RM47.7 bilion) dan dan perkhidmatan lain pada 13.3 peratus (RM39.0 bilion) dengan secara kolektif, tiga subsektor itu menyumbang 82.5 peratus kepada keseluruhan industri pelancongan.
Selain itu, semua subsektor pelancongan telah melepasi paras prapandemik 2019 kecuali subsektor perkhidmatan penginapan dan pengangkutan penumpang, yang belum pulih sepenuhnya.
Beliau juga berkata perbelanjaan pelancongan inbound Malaysia berkembang sebanyak 41.1 peratus atau RM107.0 bilion pada 2024.
“Pertumbuhan ini disokong oleh aktiviti membeli-belah iaitu 36.1 peratus diikuti pengangkutan penumpang (19.1 peratus) dan penginapan (18.5 peratus).
“Komposisi perbelanjaan inbound didominasi oleh segmen pelancong yang menyumbang 96.1 peratus dan selebihnya 3.9 peratus adalah segmen pelawat harian,” katanya.
Menurut Mohd Uzir, perbelanjaan pelancongan domestik meningkat sebanyak 25.1 peratus (2023: 32.9 peratus) atau RM98.4 bilion pada tahun 2024 dan didorong terutamanya oleh aktiviti membeli-belah serta makanan dan minuman
Perbelanjaan domestik terdiri daripada pelancong yang menyumbang 57.8 peratus manakala pelawat harian mencatatkan 42.2 peratus
“Berikutan itu, penggunaan pelancongan internal meningkat 33 peratus pada 2024 daripada 66.1 peratus pada 2023,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial