EKONOMI

JS Solar Catat Lebihan Langganan 48.32 Kali

12/09/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) JS Solar Holdings Bhd telah mencatatkan lebihan langganan sebanyak 48.32 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijadualkan pada 23 September, 2025.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat fotovoltaik solar itu berkata bahawa selepas penyenaraian, ia akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM100.75 juta berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 325 juta saham dan harga IPO sebanyak 31 sen sesaham.

“Pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam 78 juta saham biasa baharu, mewakili 24 peratus daripada modal saham terbitannya diperbesarkan selepas IPO dengan RM24.18 juta dijangka dikumpul.

“Selain itu, terdapat tawaran untuk penjualan 19.5 juta saham sedia ada, mewakili enam peratus daripada modal saham terbitan diperbesarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih,” katanya.

Daripada 78 juta saham terbitan, ia berkata 16.25 juta diperuntukkan kepada rakyat Malaysia, syarikat itu menerima 8,567 permohonan untuk 801.52 juta saham terbitan bernilai kira-kira RM248.47 juta, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 48.32 kali.

“Sebanyak 19.50 juta saham terbitan tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.

“Penempatan persendirian sebanyak 42.25 juta saham terbitan dan 19.5 juta saham tawaran kepada pelabur terpilih juga dijual sepenuhnya,” katanya.

Pengarah Urusan JS Solar Johnson Chai Jeun Sian berkata hasil itu akan digunakan untuk mengukuhkan kehadirannya di Semenanjung Malaysia dan Sabah, pada masa sama memacu penyepaduan sistem penyimpanan tenaga bateri ke dalam penyelesaiannya.

“Prospek industri adalah optimis, disokong oleh komitmen kerajaan terhadap ekonomi yang mampan melalui pelan strategik dan dasar yang menggalakkan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

TA Securities Holdings Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd ialah penasihat kewangan untuk IPO berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan