KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) kekal berhati-hati terhadap prospek sektor pembuatan Malaysia di sebalik ketidaktentuan perdagangan global dan tarif yang berterusan.
“Perkembangan dasar perdagangan mungkin terus membebankan permintaan luar apabila tarif yang diumumkan baru-baru ini berkuat kuasa dan belian dalam aktiviti perdagangan berkurangan, mengukuhkan pendirian berhati-hati RHB IB.
“Kejelasan tarif timbal balik AS ke atas Malaysia dan penangguhan tarif AS terhadap China hingga 10 November, 2025 sepatutnya memberikan kelegaan jangka pendek dan meningkatkan sentimen pembuatan.
“Kepelbagaian destinasi eksport dan penawaran produk, ditambah dengan permintaan domestik yang kukuh, seharusnya membantu mengekang sektor pembuatan daripada tekanan luar,” kata RHB IB dalam satu nota penyelidikan.
Bank pelaburan itu berkata sektor berorientasikan eksport kukuh seperti elektronik dan elektrik (E&E), bahan mentah dan jentera, dijangka menanggung beban akibat tarif AS ke atas Malaysia dan kesan limpahan yang lebih luas daripada ketegangan perdagangan yang berterusan.
"Melangkah ke depan, kami akan memantau dengan teliti perkembangan sektor tertentu terutamanya dalam semikonduktor, memandangkan peranan penting mereka dalam industri dipacu eksport Malaysia. Ketidakpastian kekal susulan pelaksanaan tarif AS yang mungkin dilaksanakan ke atas semikonduktor; namun risiko serta-merta kelihatan terhad," kata RHB IB.
Walaupun terdapat ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan AS, bank pelaburan itu berkata permintaan global yang berterusan untuk semikonduktor, didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dan kemajuan teknologi lain, kekal sebagai faktor positif utama bagi Malaysia sekali gus terus menjadi pengeksport utama dalam sektor itu.
"Permintaan domestik terus memainkan peranan penstabil bagi sektor pembuatan Malaysia dalam persekitaran ketidaktentuan luaran. Penggunaan tempatan yang teguh, disokong oleh pekerjaan stabil, kenaikan gaji dan aktiviti pelaburan berterusan, ia membantu mengekalkan tahap pengeluaran walaupun pasaran eksport menghadapi masalah," katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai jualan sektor perkilangan negara meningkat 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM162.5 bilion pada Julai 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial