AM

Proton Perkenal Kempen Servis Ihsan MADANI, Tawar Diskaun Hingga 30 Peratus

11/09/2025 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Proton memperkenalkan Kempen Servis Ihsan MADANI, sebuah inisiatif bertujuan meringankan kos pemilikan kenderaan sambil menggalakkan tabiat pemanduan yang lebih selamat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi kempen ini, pemilik model Proton PIES, iaitu Persona, Iriz, Exora, dan Saga, dapat menikmati pakej servis asas pada harga promosi tetap sebanyak RM145 bagi Pakej Semi-Sintetik dan RM198 untuk Pakej Sintetik Penuh, menawarkan diskaun hingga 30 peratus daripada kadar biasa.

Proton Holdings Berhad dalam kenyataan memaklumkan pelanggan juga akan menerima pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma di semua pusat servis Proton, merangkumi komponen penting seperti brek, bateri, pengelap cermin serta pemeriksaan kritikal lain yang direka untuk meningkatkan keutuhan kenderaan dan keyakinan pemandu.

"Kempen Servis Ihsan MADANI ini ditawarkan di semua pusat servis Proton yang sah di seluruh negara dari 11 Sept hingga 11 Nov 2025.

"Kempen ini juga diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di bawah program Malaysia MADANI, serta mencerminkan komitmen berterusan Proton dalam memberikan nilai dan penjagaan bermakna kepada pelanggan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Ainol Azmil Abu Bakar berkata kempen itu ialah sebahagian daripada komitmen luas Proton untuk menjadikan pemilikan kenderaan lebih mudah diakses dan bebas kebimbangan untuk rakyat Malaysia.

"Dengan menyelaraskan inisiatif selepas jualan dengan aspirasi program Malaysia MADANI, kami bukan hanya meningkatkan kemampuan, tetapi juga mempromosikan keselamatan dan tanggungjawab di jalan raya.

"Kempen ini menekankan dedikasi Proton dalam memenuhi keperluan pelanggan sambil menyokong matlamat mobiliti negara," katanya.

Pengarah Selepas Jualan Proton Edar Wan Hazran Wan Mustafa berkata pelanggan dapat menikmati pakej servis yang sangat berpatutan, malah lebih murah berbanding di bengkel bebas.

"Selain itu, kami turut melaksanakan pemeriksaan keselamatan 40 mata secara percuma demi ketenangan fikiran pelanggan. Proton sentiasa komited memberikan kepuasan kepada pelanggan," katanya.

Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan servis, pelanggan boleh melayari www.proton.com atau hubungi pusat servis Proton terdekat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan