AM

Pelan Tindakan Nasional WPS Perkukuh Peranan Wanita Dalam Pembangunan Negara - Nurul Izzah

11/09/2025 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pelan Tindakan Nasional berkenaan Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) 2025–2030 yang dilancarkan Selasa lepas satu langkah penting dalam memperkukuh peranan wanita sebagai tonggak keamanan, keselamatan serta pembangunan negara.

Pengerusi Eksekutif badan pemikir Polity Nurul Izzah Anwar berkata pelan dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu juga menegaskan komitmen Malaysia terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 1325.

"Malah, ia turut membawa mesej bahawa suara, kepimpinan, dan perlindungan wanita teras dalam membina keamanan serta menjamin pembangunan negara yang inklusif dan mampan.

"Empat tonggak utama pelan ini, iaitu perspektif, pencegahan, penyertaan, dan perlindungan menyediakan rangka kerja jelas bagi menterjemahkan agenda WPS kepada hasil nyata yang menyentuh kehidupan rakyat biasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Izzah berkata cabaran sebenar terletak kepada pelaksanaan pelan tindakan berkenaan, dengan menyifatkan usaha membina keamanan tidak boleh sekadar kekal sebagai dasar atas kertas, sebaliknya dihidupkan dalam isi rumah, kejiranan dan komuniti.

"Hanya dengan cara itu kita dapat melindungi masa depan rantau ini daripada konflik, krisis, serta ujian berterusan terhadap keselamatan kita," katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan antara yang akan diberi tumpuan pada Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara 2025: WPS anjuran Polity pada 30 Sept ini, menampilkan suara-suara serantau seperti Dwi Rubiyanti Kholifah, Prof Tan Sri Jemilah Mahmood dan Dr Amina Rasul-Bernardo.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan