JENAYAH & MAHKAMAH

Maritim Malaysia Gagalkan Cubaan Seludup 15.2kg Ganja Mampat Bernilai RM76,000

10/09/2025 06:35 PM

KANGAR, 10 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk ganja mampat seberat 15.2 kilogram ke negara ini, dengan anggaran nilai RM76,000 di perairan Kuala Perlis awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kejayaan merampas ganja pada 4.50 pagi itu, menerusi rondaan rutin dalam Operasi AMAN, hasil risikan dan pemantauan lebih dua bulan Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis.

Beliau berkata ketika rondaan dilakukan, anggota mengesan sebuah bot enjin berkuasa tinggi dipercayai dinaiki dua individu dalam keadaan mencurigakan, yang kemudiannya bot itu memecut laju dalam keadaan gelap sebelum membuang beberapa objek ke laut, dan mereka meloloskan diri ke arah perairan Kedah dengan bot itu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap objek itu menemukan sekarung guni putih berisi 14 ketulan mampat daun kering disyaki ganja, dipercayai mampu menampung kegunaan lebih 30,000 penagih untuk pasaran kawasan utara,” katanya pada sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Romli berkata modus operandi dipercayai sindiket menggunakan bot fiber berkuasa tinggi dari negara jiran tanpa nombor pendaftaran, yang bergerak pada waktu gelap sekitar 4.30 pagi sambil menunggu air pasang bagi memudahkan penyeludupan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan